Anda di sini

Pemotong besi sambilan didakwa bunuh wanita

Advertisement
 R. Kupusamy (kanan) dihadapkan di Mahkamah Majistret Kampar semalam atas tuduhan membunuh seorang wanita 30 Nov lalu. — Gambar Bernama
KE MUKA PENGADILAN: R. Kupusamy (kanan) dihadapkan di Mahkamah Majistret Kampar semalam atas tuduhan membunuh seorang wanita 30 Nov lalu. — Gambar Bernama

KAMPAR: Seorang pemotong besi sambilan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini semalam atas tuduhan membunuh seorang wanita akhir bulan lalu.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada R. Kupusamy, 54, selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Majistret Nur Faizah Muhamad Saleh.

Kupusamy, dari Taman Sejahtera Utama didakwa membunuh S. Letchumi, 28, di ladang kelapa sawit belakang Taman Permai, Mambang Diawan, di sini, antara jam 8.30 dan 12 tengah malam pada 30 Nov lepas mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 30 Jan depan untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia, laporan asid deoksiribonukleik (DNA) dan laporan bedah siasat mangsa bagi membolehkan kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Ipoh mengikut Seksyen 177A Kanun Tatacara Jenayah.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kenny Onn Kork Chern, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Pada 1 Dis lepas, Letchumi dari Bandar Baru Kampar, ditemukan  mati oleh orang awam kira-kira jam 1 petang dengan kesan jerutan pada leher dipercayai dibunuh. — Bernama

Advertisement