Anda di sini

Najib melancarkan buku tulisan Madius

Advertisement

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak semalam melancarkan buku tulisan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Datuk Seri Wilfred Madius Tangau yang antara lain berkisar tentang keperluan integriti  dalam memacu sektor teknologi dan inovasi.

Buku bertajuk ‘Komunikasikan Sains Tulus Integriti Demi Kesejahteraan Masyarakat’ itu dilancarkan Perdana Menteri sempena Sidang Kemuncak Komuniti Keusahawanan Global 2017 (GEC) di sini.

Madius dalam prakata buku setebal 307 muka surat itu berkata buku berkenaan merupakan koleksi kebanyakan penulisannya selama lebih daripada setahun yang dimulakan atas kesedarannya bahawa dasar dan arah tuju kementerian mesti disampaikan kepada rakyat dengan jelas.

“Di sepanjang perjalanan ini, kita perlu sentiasa bermuhasabah untuk memastikan kita berada di laluan yang betul, sesuatu yang menjadi perbincangan utama dalam buku ini.

“Saya dedikasikan buku ini kepada ‘Generasi TN50’. Apakah impian rakyat Malaysia?Tanggungjawab kita kini adalah untuk melakukan yang terbaik untuk mereka,” tulisnya dalam buku terbabit.

Buku yang diterbitkan dalam bahasa Melayu dan Inggeris itu menghimpunkan 42 artikel yang dikumpul dari Februari tahun lepas sehingga Jun tahun ini dan dijual pada harga RM40 senaskhah serta boleh didapati di kedai buku Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) dan laman web ITBM di www.itbm.com.my. — Bernama

Advertisement