Anda di sini

Jutting persalah hakim atas pensabitan

Advertisement
 Kombinasi gambar fail menunjukkan Jutting (tengah) dalam van penjara sebaik tiba di mahkamah di Hong Kong pada 8 Mei, 2015; pekerja asing membawa gambar Ningsih dan Mujiasih (kanan) semasa mengadakan protes di luar Mahkamah tinggi di Hong Kong pada 8 November tahun lepas; dan pisau berlumuran darah yang digunakan sebagai bahan bukti semasa perbicaraan Jutting. — Gambar AFP
PEMBUNUHAN KEJAM: Kombinasi gambar fail menunjukkan Jutting (tengah) dalam van penjara sebaik tiba di mahkamah di Hong Kong pada 8 Mei, 2015; pekerja asing membawa gambar Ningsih dan Mujiasih (kanan) semasa mengadakan protes di luar Mahkamah tinggi di Hong Kong pada 8 November tahun lepas; dan pisau berlumuran darah yang digunakan sebagai bahan bukti semasa perbicaraan Jutting. — Gambar AFP

HONG KONG: Seorang pegawai perbankan British, yang dipenjara seumur hidup kerana membunuh kejam dua wanita Indonesia di pangsapuri mewahnya di Hong Kong dalam serangan yang dirangsang kokain, telah mengemukakan rayuan terhadap pensabitannya semalam.

Graduan Universiti Cambridge, Rurik Jutting, menyeksa Sumarti Ningsih selama tiga hari dan merakam sebahagian perbuatannya dengan telefon, sebelum mengelar leher mangsa dengan pisau bergerigi dan menyumbat mayatnya ke dalam beg pakaian.

Beberapa hari kemudian, ketika mayat Ningsih masih berada di berandanya, bekas pekerja Bank of America itu menjemput Seneng Mujiasih, dengan hasrat melakonkan fantasi sama.

Dia membunuh mangsa apabila mangsa mulai menjerit.

Jutting, 32, mengaku bersalah atas tuduhan membunuh tanpa niat atas alasan tanggungjawab merosot tetapi didapati bersalah atas tuduhan membunuh dengan niat dalam apa yang digambarkan oleh hakim ketika itu sebagai pembunuhan yang amat menjijikkan.

Bagaimanapun barisan peguam bela Jutting semalam berkata Hakim Michael Stuart-Moore kerapkali memberi arahan yang salah kepada juri sewaktu perbicaraan tahun lepas ketika menjelaskan bagaimana mereka harus menentukan sama ada keadaan fikirannya telah merencat tanggungjawabnya ke atas perbuatannya.

Peguam bela Gerard McCoy berkata, hakim dengan salah meminta juri mencari masalah mental bukannya spektrum keganjilan fikiran yang lebih umum.

Jutting kelihatan waspada dan menulis nota di mahkamah semalam, berbaju biru dan berkaca mata berbingkai gelap, sesekali tersenyum dan bercakap dengan pengawal dalam kandang tertuduh.

Dalam perbicaraan 10 hari yang meletihkan pada Oktober dan November lalu, juri mendengar bagaimana Jutting menjadi taksub dengan perhambaan, rogol dan penyeksaan, fantasi yang dilaksanakannya ke atas mangsa pertamanya Ningsih.

Juri terpaksa menonton rakaman iPhone sebahagian serangan itu, selain gambaran Jutting yang dirakamnya sendiri mengenai cara dia menggunakan playar, alat permainan seks dan tali pinggang sewaktu pembunuhan itu.

Dia seterusnya membunuh mangsa kedua Mujiasih dengan mengelar lehernya di bilik tamu.

Pada hujung perbicaraan, Stuart-Moore berkata, Jutting tahu apa yang dilakukannya dan menggambarkannya sebagai contoh pemangsa seksual yang amat berbahaya kepada wanita.

Perbicaraan diteruskan hari ini untuk mendengar hujah pihak pendakwaan. — AFP

Advertisement