Anda di sini

Dua beranak mengaku bersalah dera kanak-kanak empat tahun hingga mati

Advertisement
 

PETALING JAYA: Dua beranak mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan mendera seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun hingga mati, yang berada dalam jagaan mereka sejak dua tahun lepas.

Norasmahwati Tar Mohmad, 32, dan ibunya, Norhayati Bidin, 61,  didakwa bersama-sama sebagai penjaga kepada kanak-kanak perempuan berusia empat tahun sembilan bulan itu, telah melakukan penderaan fizikal dan bertindak secara cuai ke atas kanak-kanak tersebut.

Kedua-dua beranak yang tidak bekerja itu dituduh  melakukan perbuatan tersebut di sebuah rumah di Tingkat 1, Blok 3, Jalan 8/14, Bandar Sunway, di sini antara Disember 2015 dan 2 Dis 2017.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara yang boleh sampai 10 tahun atau kedua-duanya.

Bagaimanapun, Hakim Azwarnida Affandi belum menjatuhkan hukuman terhadap kedua-dua tertuduh sementara menunggu laporan bedah siasat dan menetapkan 26 Jan untuk sebutan semula kes.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Norazalina Razali tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap kedua-dua tertuduh.

Beliau memaklumkan kepada mahkamah bahawa kanak-kanak  itu yang tidak mempunyai pertalian darah dijaga sejak  kecil oleh kedua-dua tertuduh.

"Berdasarkan siasatan, ayah mangsa merupakan warga Pakistan manakala ibunya berasal dari Indonesia yang telah meninggalkan anak mereka di rumah tertuduh sebelum menghilangkan diri,

"Mengikut laporan perubatan, kegagalan fungsi jantung dan trauma akibat objek tumpul didapati pada bahagian kaki, tangan, muka dan kulit kepala mangsa hingga menyebabkan kematian," katanya.

Mahkamah tidak membenarkan kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam itu diikat jamin.  - BERNAMA

Advertisement