Anda di sini

Program baik pulih diteruskan ke fasa ketiga

Advertisement
 Ellron bersama penerima bantuan serta kakitangan UPPM Sook dan PPPNS.
BAIK PULIH: Ellron bersama penerima bantuan serta kakitangan UPPM Sook dan PPPNS.

KENINGAU: Kerajaan mencadangkan program baik pulih rumah secara gotong-royong di bawah program Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Sabah (PPPNS) unit Penyelarasan Jabatan Perdana Menteri diteruskan untuk fasa ketiga akan datang untuk kawasan daerah kecil Sook.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Ellron Alfred Angin berkata, ia memandangkan sambutan penduduk yang memerlukan amat baik selain memastikan tiada penduduk lain tercicir daripada menerima bantuan itu.

Ada kemungkinan kerajaan akan membuat satu lagi peringkat ketiga pembaikan rumah ini...kita berharap ia juga membantu membaiki rumah-rumah yang sudah usang,” katanya.

Beliau ditemui selepas meninjau baik pulih rumah secara gotong-royong di bawah program pejabat PPPNS, Unit Penyelarasan Jabatan Perdana Menteri di Kampung Malima di daerah kecil itu pada Jumaat.

Katanya, untuk fasa pertama dan kedua, sebanyak 100 rumah penduduk di bawah senarai program e-Kasih telah dibaik pulih masing-masing setiap rumah menerima peruntukan berjumlah RM10,000 untuk daerah kecil ini dan Nabawan dalam Parlimen Pensiangan.

Sementara itu, para penduduk kampung yang menerima bantuan baik pulih rumah berterima kasih kepada usaha kerajaan memberi bantuan itu.

Pada lawatan kerja itu, Ellron yang juga ADUN Sook turut menyampaikan bantuan keperluan harian kepada para penerima bantuan baik pulih rumah yang dilawati.

Hadir sama, Pemimpin Pembangunan Masyarakat Sook Charles Ikang dan kakitangan PPPNS.

Advertisement