Anda di sini

Indonesia kekang wabak difteria

Advertisement

Penyakit itu tersebar dek pergerakan antivaksin, kurang kesedaran

 Seorang kanak-kanak perempuan menangis ketika disuntik dengan vaksin difteria di sebuah klinik kampung di Jakarta, semalam. — Gambar AFP
PENCEGAHAN: Seorang kanak-kanak perempuan menangis ketika disuntik dengan vaksin difteria di sebuah klinik kampung di Jakarta, semalam. — Gambar AFP

JAKARTA: Jutaan kanak-kanak Indonesia divaksin minggu ini tatkala wabak difteria menular menyebabkan puluhan maut, kata pegawai semalam.

Kira-kira lapan juta kanak-kanak dan remaja menerima vaksin untuk mencegah penularan lanjut penyakit akibat jangkitan bakteria itu yang boleh menyebabkan kesukaran bernafas, kegagalan jantung, lumpuh malah maut jika dibiarkan tanpa rawatan.

Insiden meluas penyakit mudah tersebar itu bagaimanapun jarang berlaku di Indonesia, walaupun ia mencatat jumlah kedua terbesar kes global antara 2011 dan 2015, selepas India, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Tahun ini, hampir 600 kes dikesan dalam 95 komuniti meliputi 20 wilayah, menyebabkan 32 maut.

Program vaksin itu bermula semalam di tiga wilayah paling padat penduduk termasuk ibu negara Jakarta dan dijangka berterusan hingga bulan depan, menurut pegawai.

Peningkatan kes adalah akibat kesedaran awam yang lemah dan peningkatan pergerakan antivaksin, menurut kementerian kesihatan.

Kes difteria sudah lama jarang berlaku di Indonesia, jadi penduduk tidak lagi menyedari bahayanya dan tidak membawa anak mereka untuk divaksin,” kata pegawai kanan kementerian Jane Soepardi.

Para pegawai berharap wabak dapat dihentikan sebelum penganjuran Sukan Asia tahun depan.

Langsung tidak menakutkan.

Guru memberitahu kami semua mesti divaksin dan ia juga tidak menyakitkan,” kata Ragil Setiawan, 10, pelajar sekolah asas di Tangerang, pinggir Jakarta, semalam yang menerima suntikannya.

Dalam perkembangan berasingan, polis antirerorisme telah menahan 18 suspek yang ada kaitan kumpulan militan dalam cubaan mengurangkan risiko serangan ketika sambutan Krismas dan Tahun Baharu di negara majoriti Muslim itu, menurut polis semalam.

Ketua Polis Tito Karnavian berkata, meskipun tiada bukti wujudnya rancangan khusus, penahanan tersebut dibuat dalam usaha mencegah masalah.

Kami melancarkan serangan praemptif,” kata Karnavian kepada para wartawan.

Majoriti suspek mempunyai kaitan dengan insiden sebelum ini (dan orang) yang telah kami tahan terlebih dahulu,” katanya.

Polis berkata, 12 ditahan di Sumatera Selatan, empat di Kalimantan Barat, masing-masing seorang di Malang dan Surabaya, kedua-duanya di Jawa Timur.

Di bawah undang-undang antiterorisme Indonesia, penyiasat boleh menahan suspek selama tujuh hari sebelum memastikan mereka adalah suspek khusus atau dibebaskan, menurut jurucakap polis  Setyo Wasisto.

Sejak beberapa tahun lalu, serangan militan menyasari warga asing, penduduk Kristian dan pihak kerajaan termasuk letupan berdarah di pulau pelancongan Bali pada 2002 yang menyebabkan 202 terbunuh. — Wirenews

Advertisement