Anda di sini

AirAsia raih dua anugerah di WTA 2017

Advertisement

Terbaik untuk lima tahun berturut-turut selain menang anugerah sulung kru kabin

 AirAsia dinobatkan sebagai Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terbaik Dunia lima tahun berturut-turut dan menerima anugerah sulung bagi Kru Kabin Syarikat Penerbangan Tambah Rendah Terbaik Dunia.
TAHNIAH: AirAsia dinobatkan sebagai Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terbaik Dunia lima tahun berturut-turut dan menerima anugerah sulung bagi Kru Kabin Syarikat Penerbangan Tambah Rendah Terbaik Dunia.

KUCHING: AirAsia telah dinobatkan sebagai Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terbaik Dunia bagi tahun kelima berturut-turut di World Travel Awards (WTA) 2017.

AirAsia mengungguli kategori tersebut setelah menerima undian tertinggi daripada para pemain industri profesional dari seluruh dunia, menewaskan Southwest Airlines, JetBlue, Ryanair, easyJet, Jetstar Airways, Norwegian Air, West Air, flydubai, Air Arabia, flynas, kulula, Mangga dan fastjet.

Syarikat penerbangan tambang rendah terbesar di Asia berdasarkan jumlah penumpang itu juga memenangi anugerah sulung bagi Kru Kabin Syarikat Penerbangan Tambah Rendah Terbaik Dunia, mengatasi 13 syarikat penerbangan lain.

Kemenangan ini adalah susulan kejayaannya pada awal tahun ini setelah memenangi anugerah Kru Kabin Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terbaik Asia dan pada tahun 2015, apabila ia dinobatkan sebagai syarikat penerbangan tambang rendah pertama yang memenangi anugerah Kru Kabin Terbaik Asia, menumpaskan syarikat penerbangan perkhidmatan penuh seperti Singapore Airlines, Air Korea dan Cathay Pacific.

Ketua Komersial Kumpulan AirAsia, Siegtraund Teh dan kru kabin kanan Rosita Sulaiman menerima anugerah tersebut pada majlis berprestij yang diadakan di JW Marriott Phu Quoc Emerald Bay di Vietnam, kelmarin.

Turut hadir ialah Pengerusi Eksekutif AirAsia Berhad Datuk Kamarudin Meranun, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Tan Sri Tony Fernandes, Pengarah Bebas Bukan Eksekutif AirAsia Berhad Datuk Fam Lee Ee dan rakan kongsi AirAsia Vietnam, Tran Trong Kien.

 Tony dalam satu kenyataan semalam berkata, beliau amat berbesar hati menerima anugerah Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terbaik Dunia buat kali kelima daripada WTA.

Saya sering mengatakan bahawa kami adalah juara syarikat penerbangan tambang rendah sebenar, dan saya berbesar hati melihat para industri turut bersetuju.

Kami akan berusaha untuk menjadi lebih baik dan meneruskan misi pendigitalan kami untuk lebih memahami keperluan para tetamu dan menjadikan pengalaman penerbangan lebih menyeronokkan, di samping menyediakan perkhidmatan bertaraf dunia dengan tambang terendah.”

Ketua Kru Kabin Kumpulan AirAsia Suhaila Hassan berkata, kejayaan syarikat penerbangan bergantung kepada kakitangannya dan AirAsia mempunyai kakitangan yang terbaik.

Dua tahun lalu, kami memenangi anugerah Kru Kabin Terbaik Asia oleh WTA, mengatasi syarikat penerbangan perkhidmatan penuh.

Sejak itu, kami turut merangkul anugerah Perkhidmatan Dalam Penerbangan Terbaik Dunia pada tahun 2016, Kru Kabin Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terbaik Asia pada awal tahun ini dan kini, anugerah pertama WTA bagi Kru Kabin Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terbaik Dunia.

Ini menunjukkan komitmen berterusan kami sebagai syarikat penerbangan tambang rendah terbaik dunia, dan kami berikrar untuk terus memberikan pengalaman penerbangan terbaik yang tidak dapat dilupakan kepada para tetamu kami,” katanya.

World Travel Awards merupakan salah satu anugerah yang paling berprestij, komprehensif dan diingini oleh industri global dan pelancongan.

Ditubuhkan pada tahun 1993 untuk mengiktiraf, memberi ganjaran dan meraikan kecemerlangan dalam semua sektor industri perjalanan, pelancongan dan hospitaliti, jenama World Travel Awards kini diiktiraf di peringkat global sebagai anugerah utama bagi kecemerlangan industri.

Advertisement