Anda di sini

Sarawak Sentiasa harmoni

Advertisement
 (Dari kiri) Dennis, Lee, Gerawat, Datin Amar Doreen Mayang, Uggah, Solomon dan Adam memegang sfera menghidupkan lampu pokok Krismas tanda simbolik perasmian perarakan Krismas malam kelmarin.
RASMI: (Dari kiri) Dennis, Lee, Gerawat, Datin Amar Doreen Mayang, Uggah, Solomon dan Adam memegang sfera menghidupkan lampu pokok Krismas tanda simbolik perasmian perarakan Krismas malam kelmarin.

Agama tidak pernah jadi isu dalam kalangan rakyat negeri ini.

MIRI: Sarawak merupakan negeri di mana agama tidak pernah menjadi isu dalam kalangan rakyat pelbagai latar belakang kepercayaan dan kebudayaan.

 Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg berkata, semangat persefahaman dan rasa hormat itu adalah keistimewaan dan kekuatan rakyat Sarawak.

 "Kita rakyat Sarawak, sama ada Kristian, Islam, Buddha, Hindu atau yang lain sentiasa memperkuatkan persahabatan dan persaudaraan antara kita kerana kita tahu perpaduan dan kohesif sosial merupakan tiang kepada pembangunan dan kemajuan ekonomi,” jelas beliau dalam teks ucapannya yang dibaca Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

 Abang Johari berkata walaupun terdapat perbezaan pendapat dan cara menilai sesuatu perkara, namun ia bukan penghalang untuk rakyat negeri ini daripada berusaha serius memupuk dan memperkasakan semangat perpaduan.

 Pendirian kerajaan negeri terhadap penggunaan kalimah ‘Allah’ oleh masyarakat Kristian juga tidak berubah dan dibenarkan untuk terus menggunakan kalimah tersebut di dalam kitab dan doa sembahyang.

 "Sebagai Ketua Menteri, saya juga harus melihat kepentingan kaum lain, bukan hanya kaum Melayu.

 Saya adalah Ketua Menteri Sarawak bukan Ketua Menteri untuk mana-mana kaum tertentu," tegasnya.

 Kerajaan telah menubuhkan Unit Untuk Agama Lain (UNIFOR) yang berperanan memantau dan menjaga kebajikan rakyat agama lain selain Islam di Sarawak.

 Pada tahun ini, sejumlah RM15 juta diperuntukkan untuk UNIFOR bagi membantu pertubuhan agama melaksanakan aktiviti termasuk membina dan memperbaiki rumah ibadah.

 Dalam pada itu, geran berjumlah RM120,000 berjaya dikumpul untuk penganjuran perarakan tahun depan.

 Geran RM50,000 disumbangkan Uggah, RM20,000 masing-masing daripada Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Lee Kim Shin dan ADUN Mulu Datuk Gerawat Gala, RM10,000 masing-masing daripada Ahli Parlimen Baram Anyi Ngau, ADUN Telang Usan Dennis Ngau dan ADUN Piasau Datuk Sebastian Ting.

 Hujan lebat dan angin kencang sama sekali tidak mematahkan semangat peserta perarakan Krismas untuk terus bertahan berhimpun di Dataran Kipas Miri dan berarak mengelilingi pusat bandar raya menjayakan aktiviti tahunan itu.

 Aktiviti malam kelmarin merupakan perarakan terbesar dengan penyertaan 45,000 orang melibatkan ahli daripada 20 gereja di sini serta pengunjung.

 Kelmarin, genap 10 tahun aktiviti tersebut diadakan di sini menjelang sambutan perayaan Hari Krismas pada 25 Disember ini.

 Turut berucap ialah Datuk Bandar Miri Adam Yii dan pengerusi penganjur Pembantu Uskup The Diocese Kuching (Sarawak dan Brunei) The Right Reverend Solomon Cheong Sung Voon.

  • oleh
  • Advertisement