Anda di sini

Sarindu buka cawangan pertama di Sibu

Advertisement
 Para staf Sarindu merakamkan kenangan bersama para pengusahanya serta Ibrahim (tengah) semasa perasmian francais Sarindu yang pertama di negara ini di Sibu, semalam.
UNTUK ALBUM: Para staf Sarindu merakamkan kenangan bersama para pengusahanya serta Ibrahim (tengah) semasa perasmian francais Sarindu yang pertama di negara ini di Sibu, semalam.

SIBU: Sebuah perniagaan francais dari negara seberang, Indonesia iaitu Sarindu telah membuka cawangan pertamanya di negara ini.

Sarindu adalah sebuah kafe berkonsepkan santai-santai yang menyajikan pelbagai makanan tradisional dari negara Indonesia di samping beberapa makanan lain di negara ini.

Menurut pengusahanya Anthony Wong, Sarindu adalah sebuah kafe yang menyediakan pelbagai makanan dari negara seberang dan tidak kurang dari negara ini.

Katanya, Sarindu adalah lebih kepada mercu tanda dari negara seberang yang sangat popular di sana.

“Perniagaan di sini akan beroperasi pada setiap hari termasuk cuti umum dan Ahad.

“Isnin hingga Khamis, ia akan dibuka dari jam 10 pagi hingga jam 11 malam manakala pada Jumaat hingga Ahad (termasuk cuti umum) akan dibuka dari jam 11 pagi hingga jam 12 tengah malam,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Beliau berkata, dalam masa dua tahun lagi Sibu akan mempunyai empat cawangan lagi untuk perniagaan francais Sarindu.

“Hasrat saya pada lima tahun akan datang di negeri ini, kita berhasrat untuk membuka 15-20 cawangannya di seluruh negeri ini,” jelasnya lagi.

Wong memberitahu bahawa Sarindu lebih kepada masakan negara Indonesia.

Bagi premis baharunya ini, ia mempunyai dua tingkat iaitu tingkat atas boleh ditempah untuk sesuatu majlis seperti hari jadi, hari ulang tahun dan sebagainya mampu memuatkan 10 meja atau 100 orang.

Antara menu istimewa yang boleh didapati di Sarindu ini ialah nasi ayam penyet, sate, makanan barbeku dan sebagainya yang menawarkan harga berpatutan.

Sempena hari pembukaan rasminya semalam, pelanggan yang berkunjung akan berpeluang diberikan kad keahlian secara percuma iaitu ahlinya akan diberikan diskaun tertentu dan ia tertakluk kepada pihak pengurusan.

Diskaun sebanyak 10 peratus akan diberikan pada setiap pembelian manakala diskaun 20 peratus dikenakan semasa bulan sambutan hari jadi pemegang kad keahliannya pada setiap tahun.

Pengunjung yang hadir pada hari ini hanya akan diberikan kad keahlian sekiranya membuat pembelian melebihi RM100 di Sarindu.

Sementara itu, pengasas Sarindu dari daerah Samar Inda, Kalimantan, Indonesia Ibrahim Fong berkata, Sarindu di negara seberang kini mempunyai tujuh cawangan.

Katanya, Samar Inda mempunyai tiga cawangan diikuti Balikpapan (1), Surabaya (2) dan Sizloarjo (1).

“Samar Inda dan Balikpapan adalah terletak di Kalimantan manakala Surayabaya dan Sizloarjo terletak di Pulau Jawa,” jelasnya lagi.

Beliau berkata, disebabkan berkenalan rapat dengan Wong, mereka telah bersetuju untuk membuka cawangan di sini dan amat yakin makanan Indonesia turut mendapat sambutan di Sibu amnya Sarawak.

Justeru, jelasnya, beliau akan membantu cawangan Sarindu di sini dengan memperkenalkan menu-menu dari seberang pada masa akan datang mengikut cita rasa penduduk tempatan.

Cawangan francais Sarindu di sini turut diusahakan bersama oleh Wong dan Kiew Kee Jai.

Kepada penggemar makanan dari negara Indonesia serta makanan tempatan juga bolehlah berkunjung ke Sarindu yang beralamat di No.15, Jalan Lau King Howe atau menghubunginya di talian 084-256277 bagi sebarang pertanyaan lanjut.  

  • oleh
  • Advertisement