Anda di sini

Organisasi disaran manfaat hubungan baik dengan MPC

Advertisement
 Awang Tengah menyampaikan cenderamata kepada Azmawani pada majlis penutupan Program CEO Talk Siri 4 Tahun 2017 di Hotel Waterfront, Kuching, semalam. Turut kelihatan, Tengku Azmi (dua kiri) dan Timbalan Pengurus Besar PUSAKA Hashim Bojet.
CENDERAMATA: Awang Tengah menyampaikan cenderamata kepada Azmawani pada majlis penutupan Program CEO Talk Siri 4 Tahun 2017 di Hotel Waterfront, Kuching, semalam. Turut kelihatan, Tengku Azmi (dua kiri) dan Timbalan Pengurus Besar PUSAKA Hashim Bojet.

KUCHING: Semua organisasi di negeri ini disaran memanfaatkan hubungan baik dengan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) Wilayah Sarawak bagi membantu melaksana program kecemerlangan perniagaan dalam organisasi masing-masing.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, beliau difahamkan MPC Wilayah Sarawak telah menjadual sejumlah 23 program pembangunan kapasti tahun depan, bermula program asas, tahap  disyor dan tahap lanjutan.

“Dengan persekitaran perniagaan sentiasa berubah dan mencabar, saya menggesa semua organisasi di Sarawak untuk mengambil kesempatan daripada 23 program pembangunan terbabit seperti yang dijadualkan oleh MPC Sarawak untuk tahun 2018.

“Saya yakin menerusi program berkenaan, agensi kerajaan dan swasta dapat memperkasa keupayaan di samping dapat menunjuk kecemerlangan organisasi menjadi hasrat semua,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penutupan Program CEO (Ketua Pegawai Eksekutif) Talk Siri 4 Tahun 2017 bertemakan ‘Kepemimpinan untuk Isu dan Cabaran Kecemerlangan Perniagaan’di salah sebuah hotel terkemuka di sini, semalam.

Lebih 150 peserta daripada pelbagai organisasi  Sarawak menyertai program anjuran bersama MPC Wilayah Sarawak dan Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA.

Justeru, Awang Tengah menggesa semua organisasi di Sarawak supaya sentiasa memperkasa program kecemerlangan perniagaan dengan menanda aras amalan terbaik kecemerlangan perniagaan di organisasi lain menerusi penyertaan  program berkaitan anjuran MPC Wilayah Sarawak.

Menurutnya, program hari ini merupakan langkah kecil  menyebar luas program kecemerlangan perniagaan di Sarawak.

“Harapan saya, ramuan  diberi Timbalan Pengarah Bahagian Geran Penyelidikan, Pusat Pengurusan Penyelidikan Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr Azmawani Abd. Rahman kepada semua peserta hari ini dapat memberikan hasil yang optimum   peserta berfikir secara lebih kreatif dan inovatif,” katanya.

Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli Kedua itu memaklumkan bahawa kerajaan negeri mahu melihat lebih banyak organisasi dari Sarawak bukan sahaja terkenal di negeri ini tetapi mampu bersaing ke seluruh negara.

“Justeru, saya percaya dengan kesungguhan dan komitmen yang berterusan, hasrat ini boleh direalisasikan,” kata beliau.

Terdahulu, Pengarah MPC Wilayah Sarawak, Tengku Azmi Tengku Majis dalam ucapannya berkata, matlamat penganjuran program CEO Talk itu adalah untuk menyebar luas tentang pelaksanaan amalan inisiatif kecemerlangan perniagaan di negeri ini.

“Ia juga bertujuan menyediakan platform  organisasi berkongsi pengetahuan serta kepentingan mengenai inisiatif ini kepada pengurusan atasan sesebuah organisasi.

“Harapan agar program  seumpama ini dapat menyebar luas kecemerlangan perniagaan di Sarawak,” katanya.

Advertisement