Anda di sini

Tiga hari putus hubungan

Advertisement
 Jalan Bunau-Bekikik, Oya yang dilanda tanah runtuh sejak tiga hari lalu.
PERLU BANTUAN: Jalan Bunau-Bekikik, Oya yang dilanda tanah runtuh sejak tiga hari lalu.
 Keadaan jalan yang ditimbus oleh tanah runtuh telah menyekat laluan penduduk Ulu Bunau.
ANCAMAN: Keadaan jalan yang ditimbus oleh tanah runtuh telah menyekat laluan penduduk Ulu Bunau.

  Ratusan penduduk Ulu Bunau terjejas, Jalan Bunau-Bekikik, Oya ditimbus tanah runtuh.

SIBU: Ratusan penduduk Ulu Bunau yang dihubungkan dengan Jalan Bunau-Bekikik, Oya di kawasan Selangau dekat sini terjejas akibat terputus hubungan selepas jalan itu mengalami tanah runtuh sejak tiga hari lalu.

Keadaan itu menyebabkan penduduk tidak dapat keluar dari rumah panjang untuk melakukan rutin harian.

Menurut seorang penduduk enggan dikenali yang menghubungi Utusan Borneo petang semalam, semalam adalah hari ketiga mereka terputus hubungan apabila jalan ditimbus tanah runtuh yang dipercayai berpunca daripada hujan berterusan.

Keadaan ini sungguh menyulitkan. Apabila penduduk memerlukan makanan, minuman serta keperluan lain, kami tidak dapat keluar kerana jalan sudah ditimbus oleh tanah runtuh.

Kami tiada alternatif lain untuk keluar dan ini adalah satu-satunya jalan menghubungkan rumah panjang kami dengan dunia luar,” ujarnya.

Beliau turut bimbang sekiranya berlaku kecemasan misalnya ada penduduk yang jatuh sakit dan memerlukan rawatan klinik mahupun hospital.

Setakat ini keadaan terkawal, belum ada apa-apa perkara tidak diingini berlaku. Cuma kita mahu pihak berkuasa tahu akan masalah kita di sini.

Kita memerlukan bantuan untuk mengalihkan timbunan tanah yang runtuh supaya jalan dapat dilalui seperti biasa,” katanya.

Menurut beliau lagi, jalan tanah merah itu becak dan tidak selamat dilalui oleh kenderaan kecil buat masa ini disebabkan hujan berterusan.

Jelasnya, walaupun penduduk bergotong-royong mencangkul timbunan tanah, namun ia belum memadai kerana tiada jentolak untuk membersihkannya.

Kami mahu pihak berkuasa tampil membantu kami di sini untuk mengalih longgokan tanah supaya jalan dapat dilalui seperti biasa. Kami amat memerlukan bantuan,” katanya.

Sementara itu, katanya, jalan tersebut sangat daif dan masalah itu telah diajukan kepada pihak berkenaan untuk diperbaiki, namun hingga kini tiada sebarang tindakan diambil.

Kami hanya memerlukan batu ditabur ke atas jalan ini. Itu sahaja kami perlukan sekiranya pihak berkenaan tidak ada bajet untuk membaik pulih jalan ini.

Jika diratakan dengan batu, mungkin ia dapat dilalui oleh semua kenderaan bila musim hujan. Jalan tanah merah ini langsung tidak dapat dilalui bila musim hujan,” jelasnya.

Ulu Bunau dihubungkan dengan dua batang jalan iaitu Jalan Seri Aman dan Jalan Michael.

Rumah-rumah panjang yang terletak di kawasan Ulu Bunau ialah Rumah Ali, Rumah Enjah, Rumah Badi, Rumah Gading, Rumah Nalau dan Rumah Mathew.

Jalan menghubungkan keenam-enam rumah panjang di kawasan kami sepanjang kira-kira 6.5 kilometer. Ia adalah jalan balak yang dibina oleh syarikat pembalakan.

Bagaimanapun, keadaannya amat teruk dan berbukit-bukau. Ia amat berbahaya bila musim hujan ataupun selepas hujan kerana ia berlumpur dan amat licin,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement