Anda di sini

Hasrat tidak kesampaian

Advertisement
 Anggota bomba sedang mengangkat mayat kedua-dua mangsa untuk dibawa ke Hospital Miri bagi tindakan lanjut.
MATI LEMAS: Anggota bomba sedang mengangkat mayat kedua-dua mangsa untuk dibawa ke Hospital Miri bagi tindakan lanjut.

MIRI: Hasrat dua beradik untuk menghantar barang ke rumah bapa saudara tidak kesampaian apabila kedua-duanya mati lemas setelah kenderaan dinaiki terjunam ke dalam sungai dalam kejadian yang berlaku di sebuah feri di Sungai Liku di sini tengah hari semalam.

Kedua-dua mangsa dikenali sebagai Gary Nevile Willson, 21, dan abangnya Gabriel Bryan Sibak Wilson, 23, serta berasal dari Babu Delit, Debak di Betong.

Terdahulu, dalam kejadian sekitar jam 12.40 tengah hari itu, Gary yang memandu kenderaan terbabit dipercayai menekan minyak untuk membolehkan kenderaannya melalui permukaan berbonggol di lantai feri, namun kemudian hilang kawalan hingga terlajak ke bahagian hadapan feri sebelum terjunam ke dalam Sungai Liku.

Sementara itu, menurut bapa saudara mangsa, Bonnie Medan Imai, 25, yang ditemui di tempat kejadian memberitahu, mangsa ada menghubunginya sekitar jam 8 pagi semalam memberitahu bahawa mereka hendak menghantar barang-barang ke rumahnya yang terletak di ladang berhampiran di seberang sungai berkenaan.

Katanya, dua beradik terbabit dipercayai baharu tiba di sini dari Kuching sejak kelmarin untuk menguruskan proses perpindahan sekolah adik mereka ke Kuching.

“Alang-alang telah berada di Miri, kedua-duanya berhasrat untuk mengambil barang-barang milik mereka yang masih tertinggal di kuarters tempat mereka bekerja dahulu sebelum berpindah ke Kuching dan menghantarnya ke rumah saya.

“Sehingga tengah hari, kelibat mereka masih tidak kelihatan hingga menimbulkan kerisauan, justeru saya terus menghubungi rakan mereka di ladang terbabit dan diberitahu mereka telah bertolak dari ladang berkenaan sekitar jam 11 pagi,” katanya dalam nada sedih.

Menurut Bonnie, dia hanya mengetahui tentang kejadian itu setelah terdengar pihak pengawal keselamatan di feri berkenaan memberitahu ada sebuah kereta berwarna hitam terjunam ke sungai.

Beliau yang berasa tidak sedap hati kemudian menghubungi semula rakan mangsa di ladang berkenaan untuk bertanya jenis kenderaan yang mangsa naiki dan diberitahu kenderaan sama seperti yang dikatakan terjatuh ke sungai.

“Saya terus pergi ke pangkalan feri dengan harapan kedua-dua mangsa selamat namun hampa apabila mendapati kenderaan mereka tenggelam ke dasar sungai,” katanya sambil memberitahu itu merupakan kali pertama mereka pergi ke kawasan berkenaan (feri).

 Kenderaan mangsa yang terjunam ke dasar sungai berjaya didaratkan jam 4.30 petang semalam.
TERJUNAM: Kenderaan mangsa yang terjunam ke dasar sungai berjaya didaratkan jam 4.30 petang semalam.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Miri Superintenden Stanley Jonathan Ringgit mengesahkan kejadian itu.

Katanya, kenderaan mangsa berjaya ditarik dari dasar sungai sekitar jam 4.30 petang oleh anggota dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Miri dengan bantuan kereta tunda.

“Pasukan penyelam bomba terpaksa melakukan selaman untuk memasang pencangkuk pada kenderaan mangsa bagi membolehkan ia ditarik keluar dari dasar sungai.

“Semasa ditarik keluar, kita dapati tiada mangsa dalam kenderaan terbabit dipercayai telah keluar untuk menyelamatkan diri namun kemudian lemas,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Stanley berkata, pasukan penyelam bomba yang terus melakukan selaman di lokasi kereta jatuh berjaya menemui mayat Gary sekitar jam 5 petang, disusuli mayat Gabriel pada jam 5.25 petang.

Difahamkan, sejurus selepas kejadian, saksi di tempat kejadian ada ternampak Gary muncul seketika di permukaan air, namun tenggelam semula dipercayai cuba menyelamatkan abangnya tetapi kemudiannya terus tenggelam.

  • oleh
  • Advertisement