Anda di sini

Sedia bantu APMM

Advertisement
 Abang Johari menandatangani plak perasmian pengoperasian kapal KM Sri Aman di Jeti APMM, Wilayah Sarawak di Muara Tebas semalam. — Gambar Chimon Upon
RASMI: Abang Johari menandatangani plak perasmian pengoperasian kapal KM Sri Aman di Jeti APMM, Wilayah Sarawak di Muara Tebas semalam. — Gambar Chimon Upon

KUCHING: Sarawak sedia membantu Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Sarawak menambah aset bagi memperkasakan operasi penguatkuasaan di perairan negeri ini. 

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg berkata kerajaan negeri sanggup menyediakan dana kepada APMM jika diperlukan bagi tujuan pembinaan atau pembelian kapal maritim.

Dana tersebut katanya, akan disediakan menerusi Bank Pembangunan Sarawak (DBOS) yang kemudiannya akan dibayar semula oleh kerajaan pusat.

"Ini adalah satu lagi pendekatan baharu yang boleh kita gunakan bagi membantu meningkatkan aset APMM bagi wilayah Sarawak untuk membolehkan operasi penguatkuasaan di sepanjang perairan negeri diperkasakan.

“Kita ada DBOS yang dapat menyediakan dana kepada APMM jika mereka perlu membeli atau membina kapal yang menepati ciri-ciri yang diperlukan tetapi akan dibayar semula oleh kerajaan pusat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada perasmian pengoperasian kapal ronda generasi baharu (NGPC) KM Sri Aman di Jeti APMM Wilayah Sarawak, Muara Tebas dekat sini semalam.

Pada majlis itu, Abang Johari turut menegaskan bahawa kerajaan negeri akan meneruskan usaha membanteras pencerobohan kapal asing serta aktiviti penangkapan sumber laut secara haram di sepanjang perairan negeri ini. 

Bagi tujuan itu katanya, kerajaan negeri akan memantau semua permohonan bagi lesen kapal nelayan tempatan sebelum diluluskan oleh kerajaan pusat.

“Perkara ini telah dipersetujui oleh Kuala Lumpur dan kita telah mewujudkan satu jawatankuasa yang diketuai Datuk Amar Douglas Uggah Embas untuk memantau permohonan bagi lesen kapal nelayan ini.

“Kita mahu hanya nelayan yang tulen sahaja akan dikeluarkan lesen bagi menjaga sumber perairan dan memberi pendapatan lumayan kepada nelayan serta industri perikanan negeri,” katanya.

Kapal yang dilancar semalam merupakan yang kedua daripada enam kelas NGPC yang berteknologi dengan panjang 44 meter dan lebar 7.7 meter.

Kapal ini turut dilengkapi sebuah dron yang mampu diterbangkan sehingga enam jam dengan jarak penerbangan sejauh 800 kilometer (km).

Dron yang dilengkapkan pada kapal ini mampu memberi impak dalam tugas penguatkuasaan maritim terutama pemantauan jarak jauh yang kritikal bagi mengekang kemasukan bot nelayan asing.

Turut hadir, Ketua Pengarah APMM Datuk Seri Zulkifli Abu Bakar, Pengarah Maritim Wilayah Sarawak Ismaili Bujang Pit, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Hazland Hipni serta yang lain.

  • oleh
  • Advertisement