Anda di sini

Hari Perkhidmatan Awam 2017 pada 13-14 Disember di BCCK

Advertisement

KUCHING: Sambutan Hari Perkhidmatan Awam (HPA) 2017 akan diadakan pada 13 dan 14 Disember ini di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK).

Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani berkata disasarkan seramai 5,000 orang penjawat awam negeri dan persekutuan di Sarawak, badan berkanun negeri dan persekutuan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta syarikat swasta akan turut sama.

“Bagi memeriahkan lagi acara sambutan pada tahun ini, satu pameran bertemakan Digital Sarawak akan berlangsung selama dua pada 13 dan 14 Disember dan akan dihadiri buat pertama kalinya oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg  selepas dilantik menjadi Ketua Menteri pada 13 Januari lepas.

“Perhimpunan ini diada-kan dengan tema ‘Digital Government Driving Digital Economy (#sDGov)’, iaitu sebagai memberi penekanan kepada inisiatif digital negeri yang diilhamkan oleh Ketua Menteri sendiri,” katanya pada sidang media HPA 2017 di BCCK semalam.

Tambah beliau, Ketua Menteri juga akan melancarkan Sarawak Multimedia Authority (SMA) Sarawak Digital Economy Strategy (2018-2022) iaitu satu dokumen yang menggariskan inisiatif digital bagi memacu negeri ke arah negeri maju berasaskan ekonomi digital.

Selain itu, sebagai menghargai sumbangan, dedikasi para penjawat awam negeri dan persekutuan di negeri Sarawak serta prestasi cemerlang agensi-agensi negeri, tiga anugerah akan disampaikan pada perhimpunan itu.

Jelasnya, yang pertama Anugerah Kecemerlangan Pengurusan Kewangan Berdasarkan Indeks Akauntabiliti (AI) Bagi Tahun 2016 (Urus Setia: Jabatan Audit Negara), yang mana anugerah tersebut diperkenalkan oleh Jabatan Audit Negara Malaysia bertujuan memudahkan  pengukuran  kualiti secara objektif bagi pengurusan kewangan kementerian, jabatan atau agensi kerajaan.

AI tersebut disediakan selaras dengan teras Rancangan Malaysia Ke-9 (RMK9) dalam mengukuhkan keupayaan institusi dan pelaksanaan dengan mewujudkan KPI untuk mempertingkatkan perkhidmatan awam.

Pada masa yang sama, AI diberi berdasarkan kepada tahap pematuhan peraturan kewangan berhubung kawalan terhadap pengurusan kewangan serta berupaya membantu mewujudkan budaya kerja berasaskan amalan terbaik untuk meningkatkan kecekapan pengurusan kewangan. 

Melaluinya juga, budaya membetulkan kelemahan  yang  biasa  dan membiasakan  amalan yang betul  bukan  sahaja  dapat mempertingkatkan tahap pengurusan  kewangan kementerian, ja-batan atau agensi kerajaan persekutuan dan negeri malah aspek integriti, keutuhan  dan  akauntabiliti akan dapat dicapai. Sebanyak 13 agensi negeri akan menerima anugerah tersebut.

Sementara itu, sebanyak 22 agensi akan menerima Anugerah Ketua Menteri Sarawak (AKMS) yang diadakan setiap dua tahun sekali dan Anugerah Kualiti Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak (AKPANS) dan seramai lapan pegawai pelbagai agensi akan menerima Anugerah Pegawai Contoh Hari Perkhidmatan Awam 2017 (Urus Setia: Unit Sumber Manusia Negeri, Jabatan Ketua Menteri).

Pada majlis yang sama tambah Morshidi, turut diadakan pameran Sarawak Digital selama dua hari dengan menampilkan 20 pavilion daripada pelbagai sektor awam, swasta dan penyedia perkhidmatan digital.

Kerajaan negeri sebagai salah satu peserta pempamer akan menampilkan strategi digital negeri seperti Sarawak Pay, Sarawak ID untuk diperkenalkan kepada penjawat awam dan kepada umum.

Bagi sektor swasta dan penyedia perkhidmatan pula, kerajaan negeri telah menjemput TM, Sacofa, Centex, dan Huawei untuk turut sama mempamerkan produk dan perkhidmatan yang ditawarkan pihaknya.

Pameran akan mula dibuka pada jam 7.30 pagi 13 Di-sember dan tamat pada jam 4.30 petang, 14 Disember serta boleh dilawati oleh semua penjawat awam, pelajar sekolah, institusi pengajian tinggi awam dan swasta tempatan serta orang awam yang berminat mengetahui inisiatif kerajaan.

Advertisement