Anda di sini

Harumkan nama Sarawak

Advertisement
 (Duduk dari kanan) Ibau, Robin, Alex dan Matius menunjukkan Anugerah Baram Sape Master London 2017, kelihatan sama Elizabeth dan Mujan (berdiri tengah) dan kumpulan penari Tinggang.
ANUGERAH: (Duduk dari kanan) Ibau, Robin, Alex dan Matius menunjukkan Anugerah Baram Sape Master London 2017, kelihatan sama Elizabeth dan Mujan (berdiri tengah) dan kumpulan penari Tinggang.

   Empat pemain sape terima gelaran BSM 2017 buat persembahan di London.

LONDON: Empat pemain sape menerima gelaran Baram Sape Master (BSM) 2017 mengharumkan nama Sarawak selepas mengadakan persembahan sempena Borneo Hornbill Festival di Tuke Hall, Regent's University Inner Circle, London, semalam.

Mereka terdiri daripada Robin Jalong Lusat selaku juara dan naib juara Matius Erang, kedua-duanya dari Long Mekaba, tempat ketiga Emang Ibau dari Long Bemang dan Alex Apoi pemenang tempat keempat dari Long San.

Mereka merupakan empat pemain sape senarai teratas semasa pertandingan akhir BSM di Auditorium Tunku Abdul Rahman, Pusat Pelancongan Malaysia (MaTIC) Kuala Lumpur pada 23 Oktober 2016.

Robin, Matius, Emang dan Alex turut menerima Anugerah Baram Sape Master yang merupakan satu-satunya pengiktirafan berprestij dalam pertandingan sape.

Anugerah disampaikan oleh Perunding Pendidikan United Kingdom Profesor Kanes Rajah.

Hadir sama Timbalan Presiden Sarawak Association United Kingdom Jason Desmond, Ketua Delegasi BSM London Temenggung Elizabeth Deng, Datin Mujan Jok mewakili Datuk Lihan Jok, Ahli Majlis Lembaga BSM merangkap Penyelia BSM London 2017 Jok Eng Jok, ketua kaum dan ketua masyarakat kawasan Telang Usan dan kumpulan penari Tinggang Madang.

Elizabeth berkata, BSM London 2017 merupakan satu usaha membawa nama sape ke persada antarabangsa sekali gus mengangkat martabat raja muzik Orang Ulu di mata dunia.

"Persembahan di London merupakan langkah permulaan dan kita berharap dapat membuat persembahan di negara-negara lain.

Ia amat bermakna khususnya dalam kalangan masyarakat Orang Ulu, bukan hanya mencungkil bakat malah berperanan menjaga dan mengekalkan identiti muzik sape agar kekal menjadi milik Orang Ulu," katanya kepada Utusan Borneo di sini.

Ahli Majlis Lembaga BSM merangkap Penyelia BSM London 2017 Jok Eng Jok berkata sape merupakan penyatuan komuniti atau 'The Community Binder' tanpa mengira usia, komuniti dan tempat berjaya menyatu dan menghiburkan seluruh komuniti Baram selepas kejayaan penganjuran tiga sesi BSM.

BSM julung kali diadakan di pekan Long Lama pada 2014 melibatkan 24 pemain sape diikuti sesi kedua pada 2015 melibatkan 16 pasukan dan enam kumpulan tersebut dibawa mengadakan persembahan akhir di Kuala Lumpur.

Siri ketiga diadakan di Miri pada September 2016 melibatkan 25 pemain sape solo dan 10 peserta dibawa ke Kuala Lumpur dan daripada 10 peserta tersebut, lima yang terbaik menerima gelaran BSM dibawa ke London.

Sementara itu, pemain sape, Robin Jalong Lusat, 34, ketika ditemui berkata ia merupakan hari amat bersejarah dalam hidupnya kerana berpeluang mengadakan persembahan di London.

"Ini merupakan kali pertama saya mengadakan persembahan di luar negara, pengalaman ini tidak saya lupakan sampai bila-bila.

Saya berterima kasih kepada Majlis Lembaga BSM kerana memberi peluang kepada generasi muda seperti kami mengetengahkan bakat dalam sape.

Peluang membuat persembahan di London memberi semangat kepada saya mengadakan persembahan di negara-negara lain. Selepas ini saya berharap dapat mempromosikan sape ke negara Korea,” katanya yang mula berjinak bermain sape sejak tahun enam.

Robin berkata meskipun ramai generasi muda menggabungkan muzik sape dengan irama moden dan kontemporari namun beliau lebih selesa mengekalkan irama sape asli.

Turut mengadakan persembahan ialah kumpulan penari Tinggang Madang. Kira-kira 400 tetamu menghadiri program Borneo Hornbill Festival 2017 tersebut.

  • oleh
  • Advertisement