Anda di sini

Tiada perbalahan pendapat PRS, PBB

Advertisement

KUCHING: Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Tan Sri Datuk Amar James Jemut Masing menegaskan tiada perbalahan pendapat mengenai isu Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) antara parti itu dan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

Sebaliknya, ujar beliau, PRS sedia memberi pandangan atau pendapat sekiranya diperlukan.

“Tiada perbalahan (pendapat) antara PRS dan PBB berhubung kemungkinan pindaan NCR (Seksyen 5 Kanun Tanah Negeri).

“PRS akan menunggu sehingga Datuk Amar Douglas Uggah Embas menyelesaikan tugasnya, mencari penyelesaian terbaik kepada semua isu berkaitan NCR. PRS sedia memberi pandangan atau input jika diperlukan,” ujarnya kepada Utusan Borneo semalam.

Beliau berkata, semua pihak harus bersabar dan memberi penuh kepercayaan kepada Uggah serta Jawatankuasa Khas Pemakai Menua dan Pulau Galau (PMPG) menyelesaikan isu-isu berkaitan.

“Beliau (Uggah) sudah berjanji akan membentangkan usul berkaitan NCR pada Persidangan DUN akan datang yang dijadual Mei 2018,” katanya.

Masing berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai status yang dimuat naik oleh seorang pemilik akaun Facebook bertajuk ‘PRS and PBB clash over NCS Issue?’

Pemilik akaun Facebook itu mendakwa Masing menyarankan agar usul dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ba’ Kelalan yang juga Pengerusi PKR Negeri, Baru Bian berhubung pindaan Seksyen 5 Kanun Tanah Negeri semasa persidangan DUN baru-baru ini diadaptasi oleh Barisan Nasional (BN).

Bagaimanapun, menurut pemilik akaun Facebook itu, saranan Masing ditentang hebat pemimpin kanan PBB iaitu Uggah serta Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah sehingga tercetusnya perbalahan antara kedua-dua pihak menyebabkan Masing tidak hadir semasa pembentangan usul oleh Baru.

“Saya tidak menghadiri persidangan DUN ketika Baru membentangkan usul berkaitan NCR kerana mempunyai urusan di luar yang harus saya selesaikan pada kadar segera,” ujarnya.

Masing turut diminta mengulas kenyataan Presiden Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (PBDSB) Cobbold John Lusoi menerusi satu kenyataan akhbar semalam yang mahu beliau menjelaskan mengenai perkara itu.

Malah, Cobbold dalam kenyataan akhbar sama berkata sebagai alternatif lain ialah Masing (PRS) keluar dari BN dan tindakan itu akan lebih menguntungkan masyarakat Dayak.

Masing yang juga Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pengangkutan berkata, kenyataan PBDSB itu hanyalah satu spekulasi.

“Saya berpendapat kenyataan Cobbold dan PBDSB itu adalah spekulasi semata-mata,” tegasnya.

Sementara itu Uggah yang dihubungi semalam menegaskan beliau enggan mengulas mengenai perkara itu yang disifatkannya tidak berfaedah dan menguntungkan.

“Tiada apa yang perlu diulas mengenai perkara yang tidak berfaedah dan menguntungkan seperti itu,” ujarnya ringkas.

  • oleh
  • Advertisement