Anda di sini

Rumah tertimbus dalam kejadian tanah runtuh

Advertisement
 Keadaan tanah runtuh yang meranapkan sebuah rumah dan menjejaskan tiga yang lain.
RUNTUH: Keadaan tanah runtuh yang meranapkan sebuah rumah dan menjejaskan tiga yang lain.

SIBU: Sebuah keluarga terlepas daripada musibah apabila rumah mereka tertimbus 100 peratus dalam kejadian tanah runtuh di Rumah Gawan, Lepong Balleh, Jalan Melekun kira-kira 15 kilometer dari Kapit awal pagi semalam.

Ketua Balai Bomba Kapit, PPgB Erwandy Tugor ketika dihubungi berkata, nasib menyebelahi mereka sekeluarga yang tidak berada di rumah selepas pulang ke kampung di Belaga semasa kejadian sekitar jam 2.17 pagi semalam.

“Kesemua 11 penghuni rumah itu bernasib baik kerana tidak berada di rumah semasa rumah mereka tertimbus 100 peratus akibat tanah runtuh pagi tadi (semalam),” katanya.

Menurutnya, rumah tersebut mengalami kerosakan paling teruk, manakala tiga rumah lain yang terletak berdekatan antara satu sama lain mengalami kerosakan di bahagian belakang atau dapur.

Bagaimanapun, katanya,  insiden itu tidak melibatkan sebarang kecederaan kepada 25 penghuni yang mendiami tiga rumah (jenis kekal) yang turut terjejas.

“Kami telah mengarahkan kesemua penghuni rumah yang terjejas agar mengosongkan rumah mereka sebagai langkah keselamatan” katanya.

Erwandy menambah, arahan itu dibuat kerana khuatir kejadian tanah runtuh akan berulang memandangkan ketika ini musim hujan.

“Pihak kami juga telah memasang sawar atau pita keselamatan di sekeliling rumah yang terjejas sebagai langkah keselamatan,” ujarnya.

Katanya, penghuni juga dinasihat tidak memasuki rumah masing-masing atas faktor keselamatan.

“Pihak kami juga telah mencabut fius utama rumah yang terjejas bagi mengelak berlakunya kejadian tidak diingini,” tambahnya.

Advertisement