Anda di sini

Polis tahan pemandu lori cuba langgar penguat kuasa JPJ

Advertisement

BUTTERWORTH: Seorang pemandu lori ditahan polis kerana menghalang penjawat awam, iaitu penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menjalankan tugas  di Jalan Chain Feri, di sini kelmarin.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Noorzainy Mohd Noor berkata dalam kejadian jam 12.30 tengah hari itu, empat penguat kuasa JPJ yang menaiki sebuah kenderaan jabatan berkenaan sedang membuat rondaan apabila ternampak lori dipandu lelaki terbabit di lampu isyarat simpang menghala ke Taman Bagan.

“Penguat kuasa JPJ itu membunyikan siren kenderaan dan mengarahkan pemandu lori yang membawa muatan tanah lumpur itu memberhentikan kenderaannya di tepi jalan untuk pemeriksaan.

“Tetapi pemandu itu tidak memberhentikan lori dan terus melanggar lampu isyarat serta membelok ke Taman Bagan menuju ke dalam kawasan tapak pembinaan perumahan sambil diekori kenderaan JPJ yang terus mengarahkan suspek berhenti,” katanya di sini semalam.

Noorzainy berkata selain itu, pemandu terbabit turut membuang muatan tanah lumpur hampir mengenai kenderaan JPJ sebelum penguat kuasa berkenaan bertindak menyekat laluan keluar dari tapak pembinaan sehingga pemandu tersebut memberhentikan lori yang dipandunya itu.

“Lelaki itu enggan turun dari lorinya walaupun telah diarah beberapa kali oleh penguat kuasa JPJ  menyebabkan mereka menghubungi polis bagi meminta bantuan. Kami membuat pemeriksaan ke atas pemandu berkenaan dan mendapati lesen memandunya dan cukai jalan serta perlindungan insurans telah tamat tempoh,” katanya.

Beliau berkata penguat kuasa JPJ itu mengeluarkan sembilan saman ke atas lelaki berkenaan atas pelbagai kesalahan namun lelaki itu enggan menerimanya sebaliknya membuat provokasi dengan menolak badan anggota JPJ dan memaki hamun serta menunjukkan isyarat lucah.

“Berikutan itu, polis menahan lelaki terbabit kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan mengeluarkan kata-kata kesat. Dia kini direman empat hari bagi membantu siasatan,” katanya. — Bernama

Advertisement