Anda di sini

‘Pertemuan hidup mati’

Advertisement
 Pasukan Sibu FA harus menewaskan Sri Aman FA di Stadium Tun Zaidi, Sabtu ini untuk meneruskan kemaraan ke peringkat seterusnya.
BURU TIGA MATA: Pasukan Sibu FA harus menewaskan Sri Aman FA di Stadium Tun Zaidi, Sabtu ini untuk meneruskan kemaraan ke peringkat seterusnya.

Hanya kemenangan mampu bawa Sibu FA ke peringkat seterusnya

SIBU: Hanya kemenangan sahaja mampu membawa Sibu FA ke peringkat seterusnya bakal menentukan nasib mereka pada Liga Bola Sepak Rakyat (LBR) 2017-2018 apabila menanti kunjungan Sri Aman FA di Stadium Tun Zaidi, di sini Sabtu ini.

Bersama-sama Sibu FA, Sarikei FA dan Sri Aman FA diundi dalam Kumpulan Q2 di mana Sarikei FA telah pun tersingkir.

Kini hanya Sibu FA dan Sri Aman FA membuat perhitungan penting bagi wakil Kumpulan Q2 ke pusingan seterusnya iaitu bermain dalam ‘playoff’.

Pengurus Sibu FA, Mejar (B) Moses Ripai menyifatkan perlawanan itu ‘pertemuan kalah mati’ dan perlawanan terakhir pasukannya dan Sri Aman FA pada saingan peringkat kumpulan.

“Dalam carta liga kumpulan, Sri Aman FA berada di tangga teratas dengan mengumpul lima mata diikuti Sibu FA dengan empat mata dan Sarikei FA juga empat mata.

“Namun, Sarikei FA menamatkan jadual liga dengan empat perlawanan semuanya berjaya mengumpul empat mata tetapi dipisahkan dengan perbezaan gol.

“Sarikei FA berjaya memberi tekanan kepada kita pada minggu lalu menewaskan kita dengan 3-2 pada perlawanan berlangsung di Kompleks Sukan Meradong, Bintangor.

“Ekoran kekalahan itu, laluan kita menjadi sukar dan perlu mengatasi Sri Aman FA jika ingin ke saingan ‘playoff’,” katanya kepada Utusan Borneo di sini semalam.

Moses memberitahu pada aksi di Stadium KPSU Sri Aman Oktober lalu, Sibu FA berjaya mengikat Sri Aman FA dengan 3-3.

Menurutnya, ini adalah pertama kali Sibu FA di bawah bimbingan ketua jurulatihnya, Lucas Gabriel sambil dibantu Mohd Misyam dan Tony Karno layak sejauh ini dalam LBR.

“Sejak rombakan pengurusan dan ahli jawatankuasa Persatuan Bola Sepak Bahagian Sibu (SDFA), kita perlahanlahan cuba membawa Sibu FA melangkah jauh dalam arena bola sepak di negeri ini kerana kita sudah lama menyepi,” katanya.

Timbalan Presiden SDFA itu berkata perlawanan Sabtu ini (esok) pasukan yang menang perlawanan itu akan mara ke peringkat ‘playoff’ menentang dua kumpulan berasingan.

Jelasnya, hanya juara setiap kumpulan layak ke peringkat ‘playoff’ seterusnya beraksi di LBR peringkat kebangsaan dan hanya dua pasukan sahaja mewakili negeri.

“Ini bermakna kita tidak boleh seri. Kita hanya perlukan kemenangan sahaja.

“Justeru, saya sudah mengerahkan jurulatih, pemain-pemain menunjukkan semangat perjuangan habis-habisan dan tiada jalan lain hanya kemenangan sahaja menjamin slot ke ‘playoff’.

“Bagaimanapun, kita sudah semestinya berhati-hati dengan jerat Sri Aman FA hanya memerlukan seri layak ke peringkat seterusnya tatkala kita memerlukan kemenangan,” jelasnya.

Sibu FA akan menurunkan kesebelasan utamanya bagi berusaha melakarkan satu sejarah buat sukan bola sepak di Sibu yang lama menyepi.

Sementara itu, warga Sibu dijemput datang beramai-ramai membanjiri Stadium Tun Zaidi bagi memberi sokongan padu kepada Sibu FA dan masuk adalah percuma.

Sepak mula perlawanan bermula jam 4 petang.

  • oleh
  • Advertisement