Anda di sini

Perkongsian ‘Honeywell Educators’ pada forum PurpleLily 13-15 Dis ini

Advertisement

KUCHING: Guru mata pelajaran Sains di Sekolah Kebangsaan (SK) St Mary Suwiti Abd Ranee akan berkongsi pengalamannya sepanjang menyertai program ‘Honeywell Educators’ pada Program Akademi Ruang Angkasa (HESA) di Alabama, Amerika Syarikat  yang turut merangkumi reka bentuk eksesais gaya angkasawan, baru-baru ini.

Beliau antara penceramah dalam Forum Aspirasi yang akan diadakan sempena Perkhemahan Aspirasi dan Kepimpinan anjuran PurpleLily dari 13 hingga 15 Disember ini di Pusat Kokurikulum Negeri Sarawak, Kem Santubong.

Perkhemahan selama tiga hari dua malam itu akan mendedahkan peserta tentang kepimpinan dan mentor, menentukan impian dan motivasi, hubungan sihat, kebijaksaan kewangan dan banyak lagi.

Suwiti, ibu kepada lima cahaya mata, mahu membuktikan kepada anak-anak lelakinya yang beliau boleh mencapai kejayaan yang didominasikan kaum lelaki.

Sebagai seorang guru, beliau juga telah membuktikan kepada pelajar segalanya boleh dilakukan jika ada keinginan dan usaha keras ke arah itu.

“Inilah mesej yang mahu disampaikan menerusi Perkhemahan PurpleLily kepada peserta muda khususnya golongan wanita iaitu mereka boleh mencapai kejayaan jika mereka menetapkan pendirian dan berusaha keras untuk mencapainya,” kata PurpleLily menerusi satu kenyataan akhbar semalam.

Remaja wanita berusia 15 hingga 19 tahun yang berminat boleh mendaftar sehingga 30 November ini dengan menghubungi Li Na menerusi talian 019-8783794 arau Erin 017-3556797.

Yuran penyertaan RM30 dikenakan bagi tujuan pembayaran tempat tinggal dan makanan.

PurpleLily merupakan pertubuhan tidak mencari keuntungan berpangkalan di Kuching dan komited memberi inspirasi serta memperkasakan wanita untuk berjaya menerusi latihan celik kewangan dan kemahiran asas.

Sejak 2015,  PurpleLily telah menganjurkan bengkel-bengkel di sekolah-sekolah di Kuching serta kawasan sekitarnya.

Advertisement