Anda di sini

Ops sarang 14 berjaya tangkap 19 orang

Advertisement

KOTA BELUD: Ops Sarang Ke-14 Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Belud berjaya menangkap 19 orang terlibat pelbagai kesalahan di sini pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Kota Belud Supt Mohd Zaidi Abdullah berkata, operasi itu adalah susulan Ops Sarang Ke-13 yang berjaya menangkap seramai 18 lelaki dan seorang perempuan atas pelbagai kesalahan di bawah akta dadah dan jenayah.

Katanya polis berjaya merampas semula sebuah televisyen jenama LG, satu Water Jet Bosch, satu penyedut hampagas Sumo dan alat penyembur asap yang dilaporkan hilang pada Oktober lepas di Kampung Semberai setelah tertangkapnya dua pemuda dalam lingkungan umur 20an semasa Ops Sarang di Kampung Lebak Engad.

Beliau berkata, operasi itu telah dilaksanakan oleh semua cawangan IPD Kota Belud dengan kerjasama pihak Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

Operasi bermula dari jam 3 hingga 10 pagi yang melibatkan beberapa kampung iaitu Kg Kota Belu, Kg Lebak Engad, Kg Jawi Jawi, Kg Kuala Abai, Kg Ijuk dan Kg Wakap.

“Ops itu juga berjaya merampas satu peket plastik lutsinar disyaki mengandungi dadah syabu seberat 5.43 gram, 13 peket plastik lutsinar disyaki dadah syabu seberat 5.61 gram dan tiga peket plastik lutsinar disyaki dadah syabu 0.3 gram dan dua orang disyaki terlibat dengan kes kecurian,” katanya.

Zaidi berkata, operasi itu akan diteruskan bagi membanteras kegiatan dadah dan mengurangkan kes jenayah di daerah ini.

Sehubungan itu, beliau meminta supaya masyarakat memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat mengenai sebarang jenayah di kawasan masing-masing.

Advertisement