Anda di sini

MPC laksana Pendekatan Baharu Program Pengiktirafan mulai 2018

KUCHING: Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) akan melaksanakan Pendekatan Baharu Program Pengiktirafan bermula 2018.

Pengarah MPC Sarawak Tengku Azmi Tengku Majid berkata, inisiatif ini adalah selaras dengan pelancaran Pelan Pembangunan Produktiviti Malaysia (MPB) 2017.

MPB 2017, katanya, telah dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Mei lepas ke arah meningkatkan produktiviti negara.

“Pendekatan Baharu Program Pengiktirafan ini adalah lebih holistik yang merangkumi pengiktirafan kepada organisasi dan individu yang terlibat dalam inisiatif peningkatan produktiviti,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada taklimat Pendekatan Baharu Program Pengiktirafan MPC di Ibu Pejabat MPC Wilayah Sarawak di sini semalam yang disertai 85 peserta dari pelbagai agensi kerajaan dan swasta.

Taklimat disampaikan oleh Pengawai Perunding dari Ibu Pejabat MPC Muhammad Suffian Ahmad. 

Mengulas lanjut mengenai inisiatif tersebut, ia meliputi Pengiktirafan Amalan Persekitaran Berkualiti (QE/5S), Pengiktirafan Pengurusan LEAN, Pengiktirafan Pensijilan Kecemerlangan Pasukan (ICC) dan Pengiktirafan Kaizen.

Inisiatif ini antara lain turut meliputi Pengiktirafan Kecemerlangan Perniagaan, Pengiktirafan Productivity Linked Water System (PLWS), Pengiktirafan Pengukuran Keberhasilan Produktiviti dan Pengiktirafan Amalan Baik Peraturan.

MPC menurut Tengku Azmi telah membuat penambahbaikan yng berterusan dalam aktiviti QE/5S sebagai salah satu pendekatan kepada operasi perniagaan yang berkesan.

“Program taklimat kita pada hari ini (semalam) adalah langkah kecil untuk menyebar luas Pendekatan Baharu Program Pengiktirafan MPC.

“Saya berharap anda semua akan meneruskan inisiatif yang boleh membantu dalam meningkatkan produktiviti di organisasi masing-masing,” katanya menambah kehadiran 85 peserta semalam adalah petunjuk jelas bahawa kecemerlangan organisasi menjadi hasrat semua.