Anda di sini

Majlis SK Ulu bawan dilimpahi air sungai

Advertisement
 Para murid, guru dan ibu bapa SK Ulu Bawan nekad meneruskan program.
TIDAK BERGANJAK: Para murid, guru dan ibu bapa SK Ulu Bawan nekad meneruskan program.

KANOWIT: Majlis penyampaian sijil dan hadiah Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Bawan di sini dilimpahi air Sungai Bawan, semalam.

Ia susulan air memasuki dewan selepas air Sungai Bawan melimpah ekoran hujan tanpa henti bermula petang kelmarin sehingga waktu subuh semalam.

Menurut seorang ibu bapa prihatin yang berkongsi detik itu dengan Utusan Borneo semalam, dewan masih belum dilimpahi air sungai ketika majlis bermula sekitar jam 8 pagi.

“Namun sekitar jam 10 pagi, air mula naik dan semua orang yang berada di dewan terpaksa membuka kasut. Ia merangkumi ibu bapa, guru dan murid sendiri.

“Air perlahan-lahan naik lebih tinggi sehingga kira-kira satu kaki. Alang-alang, pihak sekolah membuat keputusan untuk meneruskan program itu,” katanya yang enggan dikenali.

Dewan sekolah itu terletak di kaki bukit dan sebelahnya terletak padang bola sepak dan gelanggang sepak takraw.

Jelasnya, hanya kawasan itu terjejas manakala asrama, kuarters guru dan yang lain tidak terjejas kerana terletak di atas bukit.

Beliau memberitahu, kejadian seumpama itu kerap berlaku khasnya apabila hujan lebat tanpa henti yang menyebabkan paras air sungai naik.

“Setakat ini, saya tidak pernah mendengar sebarang kerosakan akibat bencana tersebut, namun mungkin ia turut memberi impak terhadap struktur permukaan dewan, padang dan gelanggang sepak takraw sekiranya dibiarkan terus berlaku,” tegasnya.

Menurutnya lagi, air sungai dipercayai mudah melimpah kerana tersekat akibat semak samun.

“Aliran sungai tersumbat akibat semak samun. Tambahan pula, penduduk setempat tidak lagi menggunakan sungai sebagai pengangkutan,” jelasnya.

Justeru, beliau mencadangkan agar penduduk mengadakan gotong-royong untuk membersihkan semak samun di sungai agar kejadian itu tidak berulang lagi.

Air sungai difahamkan beransur surut dan dijangka pulih sepenuhnya pada lewat petang semalam.

Advertisement