Anda di sini

Mahu penjelasan

Advertisement
 Keluarga mangsa bercakap dengan wakil Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Wilfred Yap sebaik tiba di pekarangan pejabat Konsulat Jeneral Indonesia di Kuching, semalam.
BINCANG: Keluarga mangsa bercakap dengan wakil Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Wilfred Yap sebaik tiba di pekarangan pejabat Konsulat Jeneral Indonesia di Kuching, semalam.

KUCHING: Keluarga mendiang Chung Soon Teck yang ditembak mati anggota Badan Narkotika Nasional Propinsi (BNNP) Kalimantan Barat, Indonesia mahu perjelasan lebih terperinci berhubung kesalahan yang didakwa dilakukan sehingga meragut nyawa lelaki berusia 48 tahun itu.

Seorang ahli keluarga Chung yang pergi ke Konsulat Jeneral Indonesia di sini semalam dengan harapan bertemu dengan pihak berkuasa Indonesia memberitahu, mereka hanya mengetahui mengenai insiden tersebut melalui media sosial sehingga mayat mangsa dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) pada Rabu lepas.

Bagaimanapun, mereka tidak dibenarkan memasuki konsulat tersebut atas alasan tidak mengikut prosedur sepatutnya.

“Kami sekeluarga cuma mahukan penjelasan daripada pihak berkuasa Indonesia berhubung kesalahan yang dilakukan olehnya (mangsa) sehingga menyebabkan dia terbunuh akibat ditembak di dada.

“Setakat ini, kami hanya mengetahui perkara ini daripada media sosial sahaja serta rakan-rakannya (mangsa) yang turut sama ke Indonesia ketika itu dan masih belum ada kenyataan rasmi daripada pihak Indonesia diberikan kepada kami (keluarga),” katanya.

Menurutnya, sehingga semalam, proses bedah siasat masih belum dapat dijalankan terhadap mayat mangsa disebabkan tiada kebenaran daripada pihak polis serta kerajaan Indonesia.

“Sekarang ini, mayat masih di HUS dan bedah siasat masih belum dapat dijalankan disebabkan pihak hospital memberitahu mereka belum mendapat kebenaran daripada pihak polis.

“Terdapat juga beberapa pegawai polis yang ditemui memberitahu kami, perkara tersebut adalah di luar bidang kuasa mereka disebabkan kes melibatkan dua negara dan memerlukan penglibatan pegawai-pegawai tertinggi polis,” katanya lagi.

Justeru, mereka sekeluarga amat berharap agar pihak Konsulat Jeneral Indonesia di negeri ini serta polis dapat memberi kerjasama kepada mereka.

“Sekurang-kurangnya mereka dapat berjumpa dengan kami dan menerangkan perkara sebenar yang berlaku kerana sukar untuk kami menerima perkara ini kerana dia (mangsa) adalah seorang yang baik dan jauh sekali terlibat dengan aktiviti pengedaran dadah,” katanya.

Mangsa merupakan seorang ahli perniagaan yang terlibat dalam perniagaan jual beli kenderaan dan semasa kejadian dikatakan bersama tiga rakannya pergi ke negara jiran tersebut untuk bercuti.

Menurut satu portal berita, mangsa ditembak ketika cuba melarikan diri daripada diberkas anggota BNNP dalam satu operasi khas menahan pengedar dadah di Entikong, Indonesia pada Sabtu lalu.

Ketua BNNP Kalimatan Barat, Brigedir Jeneral Nasrullah dipetik dalam portal tersebut mendakwa, Chong memandu pacuan empat roda (4WD) bersendirian dengan membawa tiga kilogram syabu menuju ke Pontianak, melalui sempadan Entikong.

“Sebaik melepasi sempadan Entikong, 4WD suspek ditahan anggota BNNP Kalimantan Barat.

“Suspek bersama bahan bukti kemudian dibawa ke Pontianak, namun ketika dalam perjalanan, berlaku pergelutan antara suspek yang cuba melarikan diri menyebabkan anggota penguat kuasa terpaksa melepaskan tembakan dan suspek disahkan mati serta-merta,” katanya yang dipetik.

Nasrullah memberitahu, turut ditahan ialah tiga rakan Chong yang merupakan warga Indonesia dalam tangkapan berasingan.

  • oleh
  • Advertisement