Anda di sini

Latihan kebakaran di Tabung Haji Limbang persiapan untuk kakitangan

Advertisement
 Anggota bomba membawa keluar seorang kakitangan Tabung Haji Limbang.
DISELAMATKAN: Anggota bomba membawa keluar seorang kakitangan Tabung Haji Limbang.

ORANG awam di bandar Limbang gempar seketika apabila siren kecemasan berbunyi kira-kira jam 11 pagi, 16 November lepas. Seketika kemudian, sebuah jentera Jabatan Bomba dan Penyelamat Limbang (JBPM), diikuti ambulans milik Angkatan Pertahanan Awam (APM), van dan kenderaan polis tiba sebaik dimaklumkan asap kelihatan di sebuah bilik di tingkat satu pejabat Tabung Haji Limbang

Selain itu, sebuah ambulans Hospital Limbang turut kelihatan bergegas ke Tabung Haji bagi membantu kakitangan Tabung Haji yang ‘terperangkap’ dalam bilik di tingkat satu.

Anggota bomba, polis dan APM juga dilihat begitu sibuk mengawal keadaan dan memastikan semua kakitangan tingkat satu berjaya keluar dengan selamat.

Beberapa kakitangan Tabung Haji dan sekitarnya, mereka berjaya keluar pejabat sebaik menyedari asap tebal datang dari bangunan terbabit.

Pada masa sama, anggota polis turut sibuk mengawal orang ramai yang semakin teruja melihat lebih dekat untuk mengetahui apa yang berlaku.

Operasi menyelamat itu tamat kira-kira sejam kemudian selepas pasukan menyelamat berjaya memadamkan api serta semua kakitangan berjaya dikeluarkan dengan selamat.

 Kakitangan Tabung Haji Limbang berjaya keluar dari bangunan.
SELAMATKAN DIRI: Kakitangan Tabung Haji Limbang berjaya keluar dari bangunan.

Namun semua itu bukanlah kejadian sebenar tetapi merupakan sesi latihan menghadapi bencana kebakaran dan operasi menyelamat bertujuan memastikan keselamatan kakitangan Tabung Haji Limbang serta memastikan mereka bersedia menghadapi situasi cemas.

Turut hadir ialah Pengurus Tabung Haji Cawangan Limbang Mohd Zaini M Hamdi, wakil Ketua Polis Daerah Limbang Othman Abdullah, Ketua Bahagian Ketenteraman Awam Daerah Limbang ASP Khairul Ridzuan Ahmad dan Ketua Operasi Latihan Kebakaran Mohamad Ali Mohd Salleh, kakitangan Tabung Haji Limbang dan agensi kerajaan lain.

Seramai sembilan anggota bomba, 20 anggota polis dan tiga anggota APM menyertai latihan kebakaran itu.

 Khairul (kanan) bersama anggotanya bersiap sedia membantu kakitangan Tabung Haji yang terperangkap dalam bangunan.
MEMBANTU: Khairul (kanan) bersama anggotanya bersiap sedia membantu kakitangan Tabung Haji yang terperangkap dalam bangunan.
Advertisement