Anda di sini

Kes malaria di Sabah meningkat hingga 173.5%

Advertisement

KOTA KINABALU: Malaria merupakan antara kes penyakit berjangkit yang mencatatkan peningkatan di Sabah dengan sejumlah 1,660 kes dilaporkan kepada Jabatan Kesihatan negeri hingga 11 Nov tahun ini.

Pembantu Menteri di Jabatan Ketua Menteri Datuk Edward Yong Oui Fah berkata ia meningkat sebanyak 173.5 peratus berbanding kes malaria dilaporkan pada minggu epid sama tahun lepas.

Yong berkata lima daerah melaporkan kes malaria tertinggi adalah Ranau (273 kes), Keningau (270 kes), Tenom (171 kes), Kudat (110 kes) dan Nabawan (110 kes).

“Antara langkah kawalan penyakit malaria ialah pengesanan dan rawatan awal, pengurusan vektor bersepadu serta kolaboratif dengan agensi lain bagi mencegah penyakit berkenaan,” katanya menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebatik Datuk Abd Muis Picho pada persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah di sini semalam.

Abd Muis (BN-Sebatik) ingin tahu apakah jenis penyakit berjangkit yang paling banyak dihidapi oleh rakyat Sabah dan apakah langkah diambil untuk mencegahnya.

Yong berkata penyakit tuberkulosis (tibi) juga mencatatkan peningkatan iaitu 4,251 kes dilaporkan hingga 11 Nov tahun ini, meningkat 1.12 peratus berbanding dengan minggu epid sama pada 2016.

Beliau berkata lima daerah melaporkan kes tibi tertinggi ialah Kota Kinabalu (711 kes), Tawau (463 kes), Sandakan (414 kes), Lahad Datu (288 kes) dan daerah Semporna (287 kes).

“Jumlah notifikasi warga asing dilaporkan menghidap tibi di Sabah ialah 1,186 orang,” katanya.

Beliau berkata perkhidmatan bas saringan Tibi Bergerak adalah antara langkah kawalan dan pencegahan dilaksanakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi mengesan tibi melalui ujian X-ray dada kepada penduduk tempatan berisiko tinggi terutama mereka yang tinggal jauh dari pusat kesihatan.

Bagaimanapun Yong berkata kes demam denggi mencatatkan penurunan sebanyak 36.26 peratus atau 2,074 kes dilaporkan setakat 11 Nov tahun ini berbanding 3,245 kes pada minggu epid sama tahun lepas.

Beliau berkata lima daerah melaporkan kes demam denggi tertinggi ialah Kota Kinabalu (374 kes), Sandakan (235 kes), Tawau (259 kes), Semporna (189 kes) dan Lahad Datu (165 kes), selain terdapat lima kematian dilaporkan sepanjang 2017.

KKM melalui Jabatan Kesihatan negeri akan terus mempertingkat langkah kawalan dan pencegahan semua penyakit berjangkit di Sabah khususnya penyakit endemik atau penyakit memudaratkan kesihatan awam, katanya. — Bernama

Advertisement