Anda di sini

Iman Balqis, Ayied Saharin lancar single duet ‘Api dan Cinta’

Advertisement
Gambar Bernama

MENDENGAR alunan vokal lantangnya, ramai yang tidak menyangka ia adalah milik pendatang baharu Iman Balqis yang baru mencecah usia 13 tahun.

Walaupun tidak pernah mempunyai pendidikan formal dalam bidang vokal, kebolehan penyanyi cilik itu membawa lagu bernada tinggi berjaya memukau penonton ketika mempersembahkan single terbarunya, ‘Api dan Cinta’, duet bersama penyanyi Ayied Saharin, 25.

“Ibu bapa mula mengesan bakat saya sejak umur lima tahun lagi dan selepas itu saya tidak pernah menoleh ke belakang lagi untuk mengejar impian sebagai penyanyi,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis pelancaran lagu duet ciptaan komposer terkenal Rosli Selasih, di Kuala Lumpur pada 22 Nov lepas.

Menjadikan penyanyi antarabangsa Ariana Grande sebagai idola, Iman Balqis juga berhasrat untuk mencuba pelbagai genre lagu dalam memantapkan kariernya sebagai seorang penyanyi versatil.

Malah dalam memeriahkan industri hiburan negara, penyanyi yang bernaung di bawah label Luncai Emas Sdn Bhd itu juga tidak menolak untuk terus ‘disatukan’ dengan Ayied Saharin sebagai pasangan duet untuk projek seterusnya.

“Tidak susah mencari keserasian walaupun jarak usia kami amat berbeza dan lebih memudahkan saya untuk membawa lagu ini kerana genrenya bertepatan dengan ton suara,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Artis dan Repertoire Luncai Emas Sham Amir Hussain berkata kemunculan Iman Balqis dan Ayied Saharin sebagai penyanyi duo dilihat mampu menjadi pelapis penyanyi duet tanah air.

“Bukan senang untuk menyatukan dua penyanyi yang mempunyai keserasian yang begitu menyerlah seperti pasangan Achik Spin-Siti Nordiana dan Nurul Wahab-Ajai, jadi kita merancang untuk terus menghasilkan lagu duet untuk mereka selain lagu solo masing-masing,” katanya yang turut merancang membawa ‘Api dan Cinta’ ke pasaran Indonesia. — Bernama

Advertisement