Anda di sini

SUKSAR 2017 bakal diadakan di 14 venue di Kuching dan Samarahan

Advertisement

KUCHING: Temasya Sukan Sarawak (SUKSAR) 2017 yang dijadual berlangsung dari 14 hingga 17 Disember depan, akan melibatkan 14 venue di Kuching dan Samarahan dengan kebanyakan acara akan berlangsung di sekitar Kompleks Stadium Negeri, Petra Jaya.

 Acara angkat berat berlangsung dari 14 hingga 17 Disember akan diadakan di Stadium Tertutup MBKS, badminton (15-16 Disember) di UNIMAS, Kota Samarahan dan berbasikal (14-16 Disember) di FAC Matang dan Bukit Siol.

 Acara bola baling turut diadakan di UNIMAS, Kota Samarahan (14-17 Disember), boling padang (15-16 Disember) di Arena Boling Padang Sarawak, judo di Stadium Perpaduan (15-16 Disember) dan karate di Sekolah Tunku Putra (15-16 Disember).

 Memanah akan diadakan di Lapang Sasar Memanah, Petra Jaya (14-17 Disember), muaythai di The Summer Shopping Mall (14-17 Disember), olahraga di Stadium Sarawak, Petra Jaya (14-17 Disember) manakala petanque di Arena Petanque Sarawak, Santubong (14-17 Disember).

 Ragbi 7 Sebelah akan diadakan di Padang Ragbi Song Kheng Hai (15-16 Disember), renang di Pusat Akuatik Pandelela Rinong (14-17 Disember) dan sepak takraw wanita di Dewan Sepak Takraw PSS, Petra Jaya (14-17 Disember).

 Venue bagi empat acara sukan paralimpik juga telah ditetapkan dengan memanah di Lapang Sasar Memanah, Petra Jaya (14-17 Disember), olahraga di Stadium Sarawak, Petra Jaya (15-17 Disember), angkat berat di Stadium Tertutup MBKS (14-17 Disember) dan renang di Pusat Akuatik Pandelela Rinong (15-17 Disember).

 Sekitar 828 atlet menyertai SUKSAR 2017 dengan Zon Selatan dari Kuching, Samarahan dan Serian mendaftar kontinjen terbesar seramai 235 atlet.

 Zon Tengah diwakili Sibu, Kapit dan Mukah menghantar seramai 220 atlet, Zon Utara seramai 200 atlet dipilih dari Miri, Bintulu dan Limbang manakala Zon Barat dari Sarikei, Betong dan Sri Aman seramai 173 atlet.

 Atlet dan jurulatih akan tinggal di perkampungan sukan SUKSAR Kolej Rafflesia, UNIMAS manakala pegawai teknikal dan pasukan tinggal di Pusat Latihan INTAN, Kota Samarahan.

 Majlis perasmian akan diadakan pada 14 Disember di Stadium Perpaduan, Petra Jaya disusuli penutupan dijadual pada 17 Disember di venue sama.

Advertisement