Anda di sini

Pengangkutan lebih baik

Advertisement

 130 bas baharu berciri mesra OKU, mesin tiket elektronik, GPS dan CCTV beroperasi setahun lagi. 

 Nancy bersama Ali, Dr Jerip, Morshidi, William dan yang lain selepas majlis menandatangani perjanjian antara kerajaan persekutuan dan KBBK bagi pelaksanaan SBST.
UNTUK ALBUM: Nancy bersama Ali, Dr Jerip, Morshidi, William dan yang lain selepas majlis menandatangani perjanjian antara kerajaan persekutuan dan KBBK bagi pelaksanaan SBST.

KUCHING: Perkhidmatan bas henti-henti yang uzur dan kurang menepati masa di bandar raya ini lantas kurang mendapat sambutan orang ramai bakal digantikan dengan bas baharu lebih selesa, lebih patuh jadual ketibaan dan liputan lebih meluas dalam tempoh setahun dari sekarang.

Menerusi Skim Transformasi Bas Henti-Henti (SBST), 130 bas baharu yang mempunyai ciri-ciri mesra orang kurang upaya (OKU), mesin tiket elektronik berserta GPS dan kamera litar tertutup akan disediakan.

Tempoh pelaksanaan SBST yang membabitkan lima operator bas - City Public Link Bus Services, Sarawak Transport Company, Bau Transport Company, Petra Jaya Transport dan Biaramas Express, di bawah Konsortium BBK Sdn Bhd (KBBK) - itu ialah lima tahun dengan anggaran kos RM241 juta.

Perkhidmatan bas baharu itu akan meliputi 27 laluan utama sebagai permulaan yang membabitkan pentadbiran Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), Majlis Bandaraya Kuching Selatan, Majlis Perbandaran Padawan dan Majlis Perbandaran Kota Samarahan.

Laluan-laluan tersebut ialah Kuching Central ke Politeknik, Kubah Ria ke Taman Malihah, Kubah Ria ke Kampung Sejijak, Kubah Ria ke Kampung Budaya Sarawak, Kubah Ria ke Kampung Santubong, Kuching Sentral ke Pusat Komersial Demak Laut, Terminal Bas Kota Samarahan ke Pusat Komersial Demak Laut, Kuching Sentral ke Bas Terminal Kota Samarahan, Kubah Ria ke Pusat Komersial Demak Laut (melalui Jalan Bako), Kubah Ria ke Pusat Komersial Demak Laut (menerusi Jalan Haji Taha), Bandar Baharu Batu Kawa ke Kawasan Perindustrian Bebas Samajaya (menerusi Taman Song), Kuching Sentral ke Kubah Ria, Bandar Baharu Batu Kawa ke Kawasan Perindustrian Bebas Samajaya (menerusi Taman Stapok), Kubah Ria ke Kawasan Perindustrian Bebas Samajaya,  Kubah Ria ke Kampung Stutong, Kubah Ria ke Telaga Air dan Kuching Sentral ke Bandar Baharu Batu Kawa.

Ia turut merangkumi laluan Kawasan Perindustrian Bebas Samajaya ke Kampung Segedup, sekitar kawasan tHe Spring, Kubah Ria ke Pustaka Negeri, Kubah Ria ke Kampung Boyan, Bandar Baharu Samariang ke Kampung Boyan, Bandar Baharu Batu Kawah ke Kubah Ria, Summer Mall ke Taman Sri Tuang, Terminal Bas Kota Samarahan dan kawasan sekitar, Jalan Semaba dan kawasan sekitar serta Pusat Komersial Demak Laut ke Bako.

 Perkhidmatan bas henti-henti yang lama akan digantikan dengan bas yang baharu lebih selesa dan kawasan liputan lebih luas serta menepati jadual.
TINGGAL KENANGAN: Perkhidmatan bas henti-henti yang lama akan digantikan dengan bas yang baharu lebih selesa dan kawasan liputan lebih luas serta menepati jadual.

Bagi pelaksanaan SBST itu, semalam satu majlis menandatangani perjanjian antara kerajaan persekutuan dan KBBK yang disaksikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nancy Shukri.

Kerajaan persekutuan diwakili Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa manakala KBBK diwakili Pengerusinya William Chan.

Ali turut menandatangani memorandum persefahaman bersama kerajaan negeri yang diwakili Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani bagi tujuan penyelarasan dan pemantauan program tersebut.

Pelaksanaan program itu di Kuching, diterajui Jabatan Perdana Menteri dengan pelaksanaan oleh Kementerian Pembangunan Infrastruktur dan Pengangkutan Sarawak.

Nancy pada sidang media berkata mereka menyasarkan pertambahan bilangan penumpang menggunakan perkhidmatan bas henti-henti apabila ia dilaksanakan kelak.

"Pada masa ini, purata muatan bagi bas henti-henti di Kuching ialah sekitar 20 peratus, iaitu secara purata kira-kira 7,000 penumpang sehari dengan menggunakan antara 60 hingga 70 bas.

"Kapasiti SBST Kuching ialah 57,200 penumpang sehari," katanya pada majlis yang turut dihadiri Menteri Muda Pengangkutan Datuk Dr Jerip Susil dan Pengerusi Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan Sarawak Hasbi Habibollah.

Dengan penambahan laluan dan kawasan liputan, penggunaan bas baharu dan bilangan bas bertambah, pihaknya menyasarkan untuk mencapai muatan penumpang 35 peratus bagi tahun pertama pelaksanaan.

SBST turut menyasarkan muatan penumpang bertambah lima peratus setahun, katanya sambil menambah, meskipun telah lama dirancang, SBST akan membuka lembaran baharu dalam industri perkhidmatan pengangkutan awam darat di Kuching.

"Tujuan utama kerajaan dalam hal ini jelas, iaitu bagi menyediakan perkhidmatan pengankutan awam yang cekap, selesa, boleh diharap, mudah akses, jaringan liputan lebih luas, mampu bayar dan selamat untuk digunakan rakyat.

"Sebagai orang Sarawak, saya turut gembira dan bangga kerana Kuching telah dipilih sebagai antara enam bandar pertama bagi pelaksanaan SBST secara berperingkat dan pelaksanaannya mendahului ibu negeri lain seperti Johor Baharu, Kuantan, Bandar Melaka dan Kuala Terengganu," jelasnya ketika berucap.

Menurutnya, perkhidmatan bas berhenti-henti merupakan tulang belakang kepada perkhidmatan pengangkutan awam di Kuching.

Katanya, walaupun terdapat permintaan terhadapnya, namun ia sering kali bukan pilihan utama mod pengangkutan kerana stigma masyarakat yang beranggapan mutu perkhidmatan tidak cekap, tidak boleh dianggarkan kekerapan dan ketepatan waktunya serta penggunaan kenderaan lama yang tidak selesa.

Bagaimanapun katanya, kerajaan menyedari cabaran-cabaran dihadapi pengusaha bas berhenti-henti dalam meneruskan perkhidmatan mereka.

Justeru, kerajaan membelanjakan subsidi yang banyak, terutama melalui Dana Bantuan Sementara Bas Berhenti-Henti bagi memastikan pengusaha bas berhenti-henti ini dapat terus menawarkan perkhidmatan terutama di kawasan dan laluan yang tidak menguntungkan, tetapi diperlukan oleh rakyat.

Jelasnya, SBST ialah jawapan kepada penyediaan perkhidmatan bas berhenti-henti lebih cekap agar dapat memberi manfaat kepada rakyat, khususnya kepada sosioekonomi mereka.

"Saya berharap dan yakin, dengan pelaksanaan program SBST di Sarawak (Kuching) ini, rakyat akan mendapat akses kepada perkhidmatan pengangkutan awam yang baik dan ini boleh menyumbang bagi mengurangkan kebergantungan dan desakan untuk memiliki kenderaan sendiri," katanya.

  • oleh
  • Advertisement