Anda di sini

Kuasa ekonomi dunia

Advertisement

Malaysia mampu muncul dalam kelompok 20 negara kuasa ekonomi dunia menjelang 2050.

 Najib ditemani Abang Johari dan Musa menyempurnakan simbolik perasmian WIEF Ke-13.
RASMI: Najib ditemani Abang Johari dan Musa menyempurnakan simbolik perasmian WIEF Ke-13.

KUCHING: Malaysia diyakini mampu muncul dalam kelompok 20 negara kuasa ekonomi dunia menjelang 2050.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melahirkan keyakinan itu berdasarkan kepada prestasi kukuh ekonomi negara, selain disokong  pelbagai inisiatif pembangunan yang diperkenalkan kerajaan termasuk Dasar Digital Malaysia (MDP).

"MDP adalah suatu kerangka rumusan yang menjadi asas utama pembangunan ekonomi digital negara dalam merealisasikan hasrat kita untuk muncul antara 20 negara kuasa ekonomi dunia menjelang 2050,” katanya.

Beliau menambah, dasar itu mampu menyumbang kepada peningkatan sekurang-kurangnya 20 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2020," katanya.

Najib berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Majlis Perasmian Forum Ekonomi Islam Sedunia (WIEF) Ke-13 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, semalam.

Bertemakan 'Perubahan Gangguan: Kesan dan Cabaran', forum berkenaan turut dihadiri Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg dan Pengerusi Yayasan WIEF Tun Musa Hitam.

Sementara itu, Najib berkata Malaysia mendapat tempat pertama dalam Petunjuk Ekonomi Global Islam daripada 73 negara Islam seluruh dunia selain mengatasi Emiriyah Arab Bersatu di tempat kedua dengan mendapat markah 50 peratus lebih tinggi.

Petunjuk itu adalah sebahagian daripada laporan Keadaan Ekonomi Islamik Global 2016/2017 yang dikeluarkan Thomson Reuters.

"Laporan itu menyebut ekonomi Islamik, yang merangkumi makanan halal, kewangan Islamik, pelancongan halal, fesyen sederhana, rekreasi dan media halal, farmaseutikal dan kosmetik halal, diunjurkan mencecah RM12.4 trilion menjelang 2021,” katanya.

Dalam pada itu, Najib mencadangkan supaya Malaysia, Brunei dan Indonesia  meningkatkan kerjasama dalam mempromosikan ekonomi hijau termasuk teknologi hijau dan penjagaan hidupan liar.

Kita (Malaysia) genbira untuk memudahkan perbincangan lanjut mengenai cadangan ini dalam rangka forum yang sesuai melibatkan negara-negara yang bersangkutan.

Saya yakin bahawa usaha kolektif kita ini akan dipuji di dalam negara dan oleh masyarakat antarabangsa kerana ia diyakini dapat mengimbangi pembangunan semasa selain menjamin alam sekitar yang mapan untuk generasi masa depan,” katanya.

 Najib melawat gerai pameran yang turut dibuka sempena WIEF Ke-13.
TERTARIK: Najib melawat gerai pameran yang turut dibuka sempena WIEF Ke-13.
  • oleh
  • Advertisement