Anda di sini

Tiga polis didakwa minta, terima rasuah

Advertisement

JOHOR BAHRU: Tiga anggota polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah daripada orang awam, tahun lepas.

Tertuduh Lans Koperal Azizan Mohamad, 30; Lans Koperal Muhammad Aiman Najmi Sahran, 26; dan Lans Koperal Abdul Manan Abdul Satar, 33, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim Mohd Fauzi Mohd Nasir.

Mengikut kertas pertuduhan, ketiga-tiga mereka yang bertugas di Cawangan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Ibu Pejabat Polis Daerah Seri Alam didakwa secara bersama-sama meminta suapan wang tunai RM5,000 daripada seorang lelaki berusia 33 tahun sebagai dorongan untuk melepaskan lelaki itu dan seorang lagi lelaki berusia 35 tahun yang ditahan atas kesalahan memiliki dadah.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di hadapan sebuah bank di Jalan Masai Jaya 1, Plentong, Johor Bahru, pada 1 pagi, 9 Okt 2016.

Bagi pertuduhan kedua pula, mereka didakwa menerima suapan wang tunai RM2,250 daripada orang sama sebagai dorongan yang sama di Jalan Teratai 18, Taman Johor Jaya, Johor Bahru, pada jam 4.50 pagi, tarikh yang sama.

Berikutan itu, pendakwaan terhadap mereka dijalankan mengikut Seksyen 16 (a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama yang dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Mereka juga didakwa mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika disabit kesalahan, ketiga-tiganya boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda sehingga lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana yang lebih tinggi bagi setiap pertuduhan.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa SPRM, Norsyarina Raizan menawarkan jaminan RM30,000 untuk setiap tertuduh bagi kedua-dua pertuduhan, namun dibantah oleh peguam yang mewakili tertuduh.

Peguam Rosli Kamaruddin yang mewakili Azizan memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya telah berkhidmat bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) selama 11 tahun dan masih bertugas sebagai penjawat awam.

Rosli berkata, Azizan mempunyai seorang isteri dan dua anak yang masih kecil selain perlu menanggung kedua-dua ibu bapanya di Tumpat, Kelantan.

Bagi dua lagi tertuduh, peguam mereka Mohd Fazaly Ali Mohd Ghazaly berkata mereka masing-masing hanya berpendapatan RM2,800 sebulan dan mempunyai seorang isteri dan seorang anak.

Namun, selepas ditangkap SPRM, Muhammad Aiman Najmi telah digantung tugas dan sejak itu hanya bekerja sambilan manakala isterinya baharu bersalin anak pertama.

Penggantungan kerja itu juga melibatkan Abdul Manan. Mahkamah kemudian menetapkan setiap tertuduh diikat jamin RM10,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan syarat tambahan, perlu melaporkan diri di pejabat SPRM setiap minggu pertama sehingga kes selesai.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 9 Jan 2018. — Bernama

Advertisement