Anda di sini

Perancang perkahwinan Zurin Jundi didakwa tipu wanita

Advertisement

JOHOR BAHRU: Pemilik syarikat perancang perkahwinan Zurin Jundi didakwa di Mahkamah Majistret di sini, semalam atas pertuduhan menipu seorang wanita membabitkan kerugian berjumlah RM8,500 pada tahun ini.

Zurina Ahmad Zundi, 34, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas tuduhan itu selepas dibacakan di hadapan Majistret Mohd Azlan Shah Mohd Allias.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memperdaya Nor Ika Nadzirah Sirajudin supaya menyerahkan wang tunai berjumlah RM8,500 sebagai bayaran pendahuluan bagi kos upah pakej perkahwinannya yang telah berlangsung pada 16 Sept lepas.

Kesalahan itu dilakukan di butik Zurin Jundi Wedding Planner di Bandar Baru Uda di antara 22 Mac hingga 13 Mei tahun ini.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, yang jika sabit kesalahan, boleh dihukum di bawah seksyen sama iaitu penjara tidak lebih daripada 10 tahun dan dengan sebat dan boleh juga dikenakan denda.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh dan  17 Dis depan sebagai tarikh sebutan semula untuk penyerahan dokumen.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Mohd Nasir manakala tertuduh tidak diwakili peguam. — Bernama

Advertisement