Anda di sini

Pakatan Harapan perlu selesaikan masalah dalaman parti: Ahmad Zahid

Advertisement
 Ahmad Zahid (kanan) ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Membanteras Dadah Bil 1/2017 di Bilik Mesyuarat Jawatankuasa 1 di Parlimen semalam. — Gambar Bernama
SIDANG MEDIA: Ahmad Zahid (kanan) ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Membanteras Dadah Bil 1/2017 di Bilik Mesyuarat Jawatankuasa 1 di Parlimen semalam. — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Permohonan Pakatan Harapan untuk didaftarkan masih belum dapat diluluskan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) berikutan beberapa perkara dalaman parti-parti terlibat belum diselesaikan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata ini termasuk kegagalan DAP  menyelesaikan laporan pemilihan semula jawatan dalam Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP pada 12 Nov lepas.

RoS belum menerima laporan akhir dan senarai CEC terkini selepas pemilihan semula (DAP) itu,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Membanteras Gejala Dadah (JKMD) Bil 1/2017 di Parlimen semalam.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata kegagalan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) mengadakan perhimpunan agung tahunan sejak pendaftaran parti itu diluluskan serta permohonan pindaaan perlembagaan PPBM yang belum diluluskan turut menyebabkan permohonan Pakatan Harapan tidak dapat dilakukan.

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) Datuk Seri Alwi Ibrahim semalam bertemu Pakatan Harapan yang mahu mendapatkan penjelasan mengenai status permohonan pendaftaran pakatan itu.

Ahmad Zahid berkata selain Alwi, pertemuan itu turut disertai pihak RoS dan penasihat undang-undang manakala Pakatan Harapan diwakili pengerusinya yang juga Pengerusi PPBM Tun Dr Mahathir Mohamad, Presiden Pakatan Harapan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin, Pengerusi DAP Tan Kok  Wai, Ketua Setiausaha Sekretariat Pakatan Harapan Datuk Saifuddin Abdullah dan Presiden Amanah Mohamad Sabu.

Beliau berkata pada pertemuan itu, Dr Mahathir meminta RoS memaklumkan kepada pihak Pakatan Harapan jika terdapat ketidakaturan terhadap permohonan yang dikemukakannya supaya mereka boleh membuat pembetulan.

Sementara itu, Alwi yang turut hadir pada sidang berita itu, berkata Pakatan Harapan perlu mematuhi prosedur pendaftaran pertubuhan serta perlembagaan parti masing-masing.

Dua perkara itu masih belum diselesaikan oleh DAP dan PPBM untuk membolehkan kita mengambil tindakan selanjutnya mengikut proses pendaftaran, dan dengan itu barulah kita boleh lakukan tindakan selanjutnya,” kata beliau.

Pada 2 Nov lepas, RoS telah memaklumkan bahawa permohonan pendaftaran Pakatan Harapan yang dibuat pada 24 Julai lepas masih dalam pertimbangan. — Bernama

Advertisement