Anda di sini

Malaysia tubuh Pusat Kompetensi ASEAN menerusi ECERDC

Advertisement

KUALA LUMPUR: Kerajaan menerusi Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) akan menubuhkan Pusat Kompetensi ASEAN pertama di Taman Teknologi Pahang (PTP) sebagai sebahagian strategi Malaysia untuk mempercepatkan kesediaan bagi Revolusi Perindustrian Keempat (Industri 4.0).

Dalam kenyataan kelmarin, ECERDC berkata usaha penting itu dimeterai baru-baru ini dengan penandatanganan dua Memorandum Persefahaman (MoU) strategik utama dengan Bayern International GmbH dan Technische Universität München (TUM).

Kerjasama itu, yang memanfaatkan kepakaran Jerman, akan turut membantu mentransformasikan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) daripada ekonomi dipacu input kepada ekonomi dipacu pengeluaran,” menurut agensi itu.

Mengikut MoU itu, ECERDC bersama-sama sebuah universiti tempatan dan TUM yang berpangkalan di Jerman akan mewujudkan Pusat Kompetensi ASEAN untuk menerajui usaha mempertingkatkan lagi kemahiran kumpulan bakat tempatan di samping mendorong aktiviti berasaskan pengetahuan dan inovasi dalam industri.

TUM adalah universiti berkedudukan teratas Jerman berdasarkan Ranking Universiti Dunia Quacquarelli Symonds (QS) yang telah menghasilkan 13 penerima Hadiah Nobel dan berada dalam kalangan institusi berasaskan teknologi berprestij lain seperti Massachusetts Institute of Technology dan California Institute of Technology.

Ketua Pegawai ECERDC, Datuk Seri Jebasingam Issace John berkata MoU itu akan membuka laluan untuk ECER menuju Industri 4.0 dengan membawa masuk pelaburan dalam pembuatan dan perkhidmatan bernilai tinggi serta canggih.

Penubuhan Pusat Kompetensi ASEAN di PTP merupakan satu usaha penting bagi ECER memandangkan ia akan membantu mempercepatkan transformasi sosio-ekonomi wilayah itu menjadi zon ekonomi berasaskan pengetahuan dan berpendapatan tinggi.

Pusat itu, yang terletak dalam Zon Ekonomi Khas ECER, dijangka melengkapkan dan mempercepatkan perubahan yang giat kita usahakan bagi memastikan ECER bukan hanya bersedia bagi Industri 4.0 malah berperanan sebagai pintu masuk pilihan ke pasaran Asia Pasifik,” katanya.

Penubuhan pusat tersebut dijangka mendorong langkah Malaysia merintis dan dapat mempamerkan kejayaan global Industri 4.0 bagi kecemerlangan kelayakan dan latihan kakitangan tempatan, pembangunan produk, pemindahan pengetahuan dan teknologi serta pembangunan kluster.

Menerusi cadangan perkongsian itu, ECERDC berkata, TUM akan menyediakan program seminar dan kelayakan, pensijilan serta pengujian, kajian rintis dan pembangunan produk. — Bernama

Advertisement