Anda di sini

Malaysia cadang tingkat kerjasama galak Ekonomi Hijau - Najib

Advertisement

KUCHING: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini berkata sudah sampai masanya bagi tiga negara, iaitu Indonesia, Brunei dan Malaysia untuk meningkatkan usaha dan  kerjasama dalam menggalakkan ekonomi hijau, termasuk teknologi hijau dan pemuliharaan hidupan liar.  

Beliau berkata Malaysia akan membantu memudahkan perbincangan lebih lanjut mengenai cadangan ini dalam rangka forum yang sesuai melibatkan negara-negara terbabit. 

“Saya yakin usaha bersama kita akan dipuji rakyat dan masyarakat antarabangsa,” katanya dalam ucap tama beliau pada majlis perasmian Forum Ekonomi Islam Sedunia Ke-13 (WIEF), di sini, hari ini. 

Najib bersama Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Pengerusi WIEF Tun Musa Hitam.
Najib bersama Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Pengerusi WIEF Tun Musa Hitam.

Najib berkata Malaysia menyokong sepenuhnya idea ekonomi hijau menjadi sebahagian penting kepada pembangunan negara, dan dalam masa yang sama, mengiktiraf keperluan untuk memulihara kelestarian alam sekitar bagi generasi akan datang.

“Perubahan disruptif bakal tiba dan negara-negara tidak boleh mengelakkannya tetapi sebaliknya harus menerimanya,” katanya.

Perdana Menteri berkata Malaysia telah merangka dasar digitalnya sendiri dan menyasarkan ia menyumbang 20 peratus kepada keluaran dalam negara kasar negara menjelang 2020, jikapun tidak lebih awal lagi.

“Itulah sebabnya mengapa kita baru-baru ini menjadi negara pertama di dunia di luar China yang menubuhkan Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ).

“Ini akan menyediakan zon fizikal dan maya bagi memudahkan perusahaan kecil dan sederhana untuk memanfaatkan pertumbuhan pesat yang kita lihat dalam ekonomi Internet dan e-dagang rentas sempadan,” katanya.

Malaysia, katanya, telah muncul menjadi satu daripada pasaran e-dagang utama, menjana hasil sebanyak US$2.3 bilion pada tahun lepas sahaja.

Najib melahirkan harapan agar DFTZ dapat membantu mencapai sasaran Malaysia menjadi hab e-dagang serantau. 

Beliau yang baru sahaja pulang daripada menyertai Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) dan Sidang Kemuncak ASEAN berkata para pemimpin semasa mesyuarat tersebut telah membincangkan cabaran Revolusi Perindustrian Keempat (Industri 4.0). 

“Saya tidak dapat tidak telah memikirkan bagaimana terma ‘perubahan disruptif’ berkait dengan apa yang sedang berlaku di banyak negara Islam di dunia dan pada ada pandangan saya kita perlu terus tanpa henti menangani cabaran ini,” katanya.

Najib memetik laporan oleh Thomson Reuters bertajuk, “State of the Global Islamic Economy 2016/2017” bahawa ekonomi Islam diunjur mencecah nilai yang amat besar sebanyak US$3 trilion menjelang 2021.

“Laporan itu juga menyatakan aset kewangan Islam diunjur mempunyai saiz pasaran berjumlah US$3.5 trilion pada tahun yang sama.

“Di sini, di Malaysia, seperti yang diiktiraf oleh laporan itu, kami melaksanakan usaha strategik untuk memanfaatkan peluang-peluang ini,” katanya. 

Dalam laporan itu di bawah Petunjuk Ekonomi Islam Global, yang menilai sejumlah 73 negara, Malaysia berada di kedudukan pertama dengan skor 50 peratus lebih tinggi berbanding negara di kedudukan kedua, Emiriah Arab Bersatu.

Malaysia juga berada di kedudukan teratas bagi kewangan Islam dan tempat kedua bagi pelancongan halal serta farmaseutikal dan kosmetik halal. 

Malaysia juga diiktiraf sebagai “Best Developed Ecosystem for Islamic Finance” (Ekosistem Dibangunkan Terbaik bagi Kewangan Islam) dan mempunyai kerangka kawal selia paling kukuh. - BERNAMA.

Advertisement