Anda di sini

Ketua kultus kejam Manson mati

Advertisement

Dalang pembunuhan ngeri 1960-an itu meninggal pada usia 83 tahun

 Kombinasi gambar (ikut arah jam dari kiri) menunjukkan Manson berjenaka ketika dihantar pulang ke selnya selesai temu bual eksklusif dengan Reuters pada 25 Ogos, 1989; bercakap semasa temu bual tersebut; dalam gambar serahan penjara pada 14 Ogos lalu; dalam gambar penjara bertarikh 16 Jun, 2011 yang diserahkan kepada Reuters pada 8 April, 2012; dan dalam gambar serahan penjara pada 18 Mac, 2009. — Gambar Reuters
PSIKOPAT: Kombinasi gambar (ikut arah jam dari kiri) menunjukkan Manson berjenaka ketika dihantar pulang ke selnya selesai temu bual eksklusif dengan Reuters pada 25 Ogos, 1989; bercakap semasa temu bual tersebut; dalam gambar serahan penjara pada 14 Ogos lalu; dalam gambar penjara bertarikh 16 Jun, 2011 yang diserahkan kepada Reuters pada 8 April, 2012; dan dalam gambar serahan penjara pada 18 Mac, 2009. — Gambar Reuters

CALIFORNIA: Charles Manson, ketua kultus bermata liar yang mendalangi siri pembunuhan mengerikan di California Selatan oleh ‘keluarganya’, sekali gus menggugat keamanan pada lewat 1960-an, mati kelmarin, menurut pegawai penjara semalam.

Manson, 83, mati atas sebab semula jadi malam kelmarin di Hospital Daerah Kern, menurut kenyataan Jabatan Penjara dan Pemulihan California tanpa menjelaskan lanjut keadaan mengenai kematiannya.

Dia menjalani hukuman penjara seumur hidup di pusat berhampiran Penjara Negeri Corcoran kerana mengarahkan pembunuhan sembilan orang termasuk aktres Sharon Tate.

Gambar terbaharu menunjukkan wajah berjambang beruban pembunuh itu masih memaparkan parut swastika yang ditorehnya sendiri di dahinya beberapa dekad sebelum itu.

Lama setelah Manson menyepi daripada sorotan media, dia masih menjadi simbol kengerian yang dilancarkannya pada musim panas 1969.

Nama Manson itu sendiri telah menjadi metafora kejahatan,” mendiang Vincent Bugliosi, yang mendakwa Manson, memberitahu akhbar Los Angeles Times pada 1994.

Manson merupakan antara penjenayah paling kejam pada kurun ke-20 apabila mengarahkan kumpulan pengikut mudanya yang kebanyakannya wanita untuk membunuh tujuh orang dalam apa yang dikatakan pendakwa raya sebagai sebahagian pelan untuk mencetuskan perang kaum.

Tate, 26, sarat hamil lapan bulan, ditikam 16 kali pada awal pagi 9 Ogos, 1969 oleh anggota kultus Manson di rumah tepi bukit yang disewanya bersama suaminya, pengarah filem Roman Polanski, di kawasan Ngarai Benedict di Los Angeles.

Empat rakan pasangan selebriti itu termasuk pewaris kopi Abigail Folger dan pendandan rambut Jay Sebring, turut ditikam atau ditembak mati malam itu oleh pengikut Manson yang kemudian melakar perkataan ‘Khinzir’ dengan darah pada pintu depan rumah sebelum beredar.

Ketika kejadian Polanski berada di Eropah.

Malam berikutnya, anggota kumpulan Manson menikam pemilik kedai runcit Leno LaBianca dan isterinya Rosemary hingga mati sebelum menggunakan darah mereka untuk menulis ‘Kematian buat Khinzir’ dan ‘Healter Skelter’, rujukan tersilap eja lagu Beatles ‘Helter Skelter’, pada dinding dan pintu peti sejuk.

Walaupun Manson sendiri tidak membunuh mana-mana tujuh mangsa terbabit, dia didapati bersalah kerana mengarahkan pembunuhan mereka.

Dia kemudian disabit mengarahkan pembunuhan guru muzik Gary Hinman yang ditikam hingga mati pada Julai 1969, dan pelagak ngeri Donald ‘Shorty’ Shea, yang ditikam dan dipukul dengan benda keras pada Ogos tersebut.

Manson dijatuhkan hukuman mati atas pembunuhan Tate-LaBianca tetapi hukumannya dikurangkan kepada penjara seumur hidup selepas Mahkamah Agung California memansuhkan hukuman mati mandatori di negeri itu pada 1972.

Dilahirkan sebagai Charles Milles Maddox pada 12 November, 1934, di Cincinnati oleh ibunya yang berusia 16 tahun, Manson menghabiskan kebanyakan usia mudanya berpindah antara rumah sanak saudara dan pusat tahanan juvana.

Menjelang usia 13 tahun, dia sudah disabitkan atas rompakan bersenjata, dipindahkan antara pelbagai pusat tahanan sehingga dibebaskan dengan parol pada 1954.

Tahun berikutnya Manson mengahwini pelayan kafeteria hospital Rosalie Jean Willis, tetapi setahun kemudian dia disabitkan sekali lagi, kali ini kerana mencuri kereta.

Ketika di penjara, dia mendapat tahu isterinya telah melahirkan seorang anak lelaki, tetapi Willis meminta cerai dan meninggalkannya bersama anak mereka.

Dibebaskan sekali lagi pada 1958, Manson berkahwin lagi setahun kemudian, kali ini dengan seorang pelacur bernama Candy Stevens sehingga mereka bercerai pada 1963.

Ketika itu Manson sudahpun kembali ke penjara kerana melanggar parol sebelum dibebaskan sekali lagi dengan parol dari penjara pada 1967.

Dia mulai menarik anggota ‘keluarganya’ di daerah Haight-Ashbury di San Francisco, yang telah menjadi syurga budaya belia hippie.

Kumpulan itu berpindah bersama para pengikutnya ke kawasan Los Angeles sebelum akhirnya menetap di Spahn Ranch, tapak penggambaran luar filem utnuk rancangan televisyen dan filem aksi Barat.

Seks dalam komuniti dan penyalahgunaan dadah menjadi gaya hidup tatkala Manson memberi perlindungan kepada golongan muda yang melarikan diri, terbuang dan penjenayah yang tertarik dengan karisma, ancaman dan rohaniah menyelewengnya.

Menggambarkan dirinya sebagai kelahiran semula Jesus Christ, seorang pengikut memberitahu pihak berkuasa bahawa dia melihat Manson menghidupkan semula seekor burung yang sudah mati hanya dengan menghembuskan nafasnya ke atas bangkai burung itu.

Yang lain menyatakan Manson boleh melihat dan mendengar apa sahaja yang dibuat dan dikatakannya.

Manson mempunyai aspirasi untuk menjadi bintang rock dan menerusi salah seorang pengikutnya, bersahabat dengan Dennis Wilson, pemain dram Beach Boys, yang mengasaskan lagu 1969 mereka ‘Never Learn Not to Love’ kepada komposisi Manson.

Wilson memperkenal Manson kepada produser muzik Terry Melcher, yang kemudian menolaknya.

Melcher, bersama teman wanitanya ketika itu, aktres Candice Bergen, pernah menyewa rumah di Ngarai Benedict itu.

Permintaannya untuk mewakili dirinya sendiri sepanjang perbicaraan sembilan setengah bulan itu, Manson muncul di mahkamah dengan ‘X’ ditoreh pada dahinya, dan kemudian diubahnya menjadi swastika.

Defendan bersama Susan Atkins, Leslie Van Houten dan Patricia Krenwinkel turut menoreh ‘X’ pada dahi masing-masing, mencukur kepala mereka, menyanyikan lagu yang ditulis Manson dan ketawa kecil sepanjang testimoni yang mengerikan.

Pada satu peringkat, Manson cuba melompat melepasi meja pembelaan ke arah hakim sambil menyeringai: “Atas nama keadilan Kristian, seseorang patut memenggal kepala kamu.”

Hakim terbabit kemudian mulai membawa senjata api ketika perbicaraan.

Manson akhirnya ditumbangkan oleh pengikutnya sendiri.

Atkins memberitahu dua banduan lain mengenai pembunuhan Tate-LaBianca ketika dipenjara atas pensabitan bunuh berasingan, kemudian memberi keterangan di hadapan juri agung sebelum menarik balik kenyataannya.

Pendakwa raya kemudian mendorong seorang lagi pengikut, Linda Kasabian, untuk memberi keterangan menentang anggota kumpulannya sebagai pertukaran kepada kekebalan daripada pendakwaan.

Disabitkan bersama Manson, tiga defendan terbabit Atkins, Van Houten dan Krenwinkel turut menyaksikan hukuman mati mereka diringankan kepada penjara seumur hidup.

Manson sudah lama mengekalkan dirinya tidak bersalah dan memberitahu majalah Rolling Stone bahawa pengikutnya Charles ‘Tex’ Watson yang bertanggungjawab atas pembunuhan Tate-LaBianca.

Watson didakwa berasingan dan masih menjalani hukuman penjara seumur hidup atas penglibatannya dalam pembunuhan tersebut.

Namun Manson nampaknya pasrah dengan kehidupan dalam penjara malah tidak lagi menghadiri pendengaran prebiu parolnya selepas 1997.

Mengapa saya hendak keluar dari sini?

Tempat ini lebih baik daripada rumah orang tua,” katanya dalam temu bual telefon dengan Los Angeles Times.

Pada April 2012, Manson dipetik sebagai berkata oleh pegawai parol sebagai memberitahu ahli psikologi penjara pada musim luruh sebelumnya: “Saya telah meletakkan lima orang dalam kubur. Saya telah berada di penjara hampir sepanjang hayat saya. Saya masih lagi seorang lelaki yang amat berbahaya.”

Di penjara, dia dibenarkan pada 2014 untuk mengahwini Afton Elaine Burton, 26, yang digambarkan media sebagai wanita langsing berambut gelap, yang pernah melawatnya tetapi lesen 90 hari itu tamat begitu sahaja. — Reuters

Advertisement