Anda di sini

Kerajaan kenal pasti langkah kurangkan impak harga minyak

Advertisement

Memastikan rakyat tidak terbeban dan kadar inflasi terkawal

PUTRAJAYA: Kerajaan akan mengenal pasti langkah bersesuaian bagi mengurangkan impak kenaikan harga runcit petrol RON95 dan diesel jika meningkat melebihi RM2.50 seliter secara berterusan selama tiga bulan, kata Kementerian Kewangan.

Kementerian itu dalam kenyataan semalam berkata, berdasarkan trend kenaikan harga minyak mentah dunia sejak kebelakangan ini, langkah yang diambil akan memastikan rakyat tidak terbeban dan kadar inflasi terkawal dalam jangka masa sederhana dan panjang.

Kerajaan prihatin dan memahami kesan kenaikan harga minyak di pasaran dunia yang kini telah mencecah lebih AS$60 setong,” katanya.

Kementerian Kewangan berkata pada masa ini, kerajaan melaksanakan langkah rasionalisasi subsidi produk petroleum mengikut trend kenaikan atau penurunan harga minyak mentah dunia. di mana langkah tersebut telah berjaya mengurangkan ketirisan dan memastikan pemberian subsidi yang bersasar.

Kementerian Kewangan berkata penetapan harga runcit RON95 dan diesel dilaksanakan dengan mengambil kira harga pasaran minyak mentah dunia dan kadar tukaran wang asing.

Mekanisme penetapan adalah secara mingguan di mana purata perubahan kos produk petroleum minggu sebelumnya akan menentukan harga bagi minggu berikutnya.

Sekiranya harga minyak mentah dunia naik maka harga runcit produk petroleum turut naik, sebaliknya harga runcit akan berkurang jika harga minyak mentah dunia turun,” katanya.

Bagaimanapun, Kementerian Kewangan berkata kerajaan masih memberi subsidi kepada sektor pengangkutan awam dan nelayan serta gas petroleum cecair (LPG).

Harga runcit mingguan bagi petrol RON95, RON97 dan diesel bagi tempoh 16 hingga 22 Nov masing-masing adalah RM2.38, RM2.66 dan RM2.25 seliter. — Bernama

Advertisement