Anda di sini

Ekonomi Digital ke arah negeri berpendapatan tinggi - Abang Johari

Advertisement

KUCHING: Bermatlamatkan Sarawak sebagai negeri berpendapatan tinggi pada tahun 2030, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg (gambar) yakin penerokaan Ekonomi Digital merupakan landasan terbaik ke arah itu.

 

Sejajar dengan perubahan dunia, ekonomi Sarawak perlu dipelbagaikan dan juga perlu diubah agar matlamat tersebut dapat dicapai demi kesejahteraan rakyat.

"Ekonomi Digital akan menjadi landasan kukuh dan penentu bagi Sarawak menjangkau komuniti perniagaan global di samping memperolehi kerjasama antarabangsa.

"Kerajaan negeri akan melakukan semua yang mampu untuk menukarkan Sarawak kepada kuasa Ekonomi Digital," katanya berucap pada Forum Ekonomi Islam Dunia (WIEF) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.

Hadir sama, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Pengerusi WIEF Tun Musa Hitam.

Sambil menyatakan harapan WIEF dapat menyediakan perbincangan, mengenalpasti peluang dan penyelesaian selain meneroka kerjasama, Abang Johari berkata Sarawak merupakan lokasi terbaik bagi pelabur asing menanam modal.

Sarawak katanya berada di kedudukan strategik antara timur dan barat, malah merupakan sebahagian negeri daripada negara yang cepat membangun.

"Sarawak sejak beberapa tahun lepas berupaya meletakkannya sebagai antara lokasi pelaburan paling menarik dalam wilayah ASEAN," katanya.

Dari segi politik, Sarawak dan Malaysia menurutnya berupaya mengekalkan keamanan dan keharmonian, sambil menambah kestabilan tersebut merupakan tonggak dalam proses membangunkan negeri ini.

Bukan itu sahaja, negeri ini kaya dengan sumber asli, tanah pertanian, ikan dan galian, selain dilengkapi infrastruktur dan utiliti serta kerajaan yang mesra perniagaan.

"Kita juga memiliki tenaga kerja yang muda, produktif, rajin dan bertutur Bahasa Inggeris.

"Tenaga kerja di Sarawak berupaya menyediakan pekerja yang berpendidikan, mahir, separa mahir dan tenaga muda bagi memenuhi keperluan perniagaan berteknologi tinggi," katanya.

  • oleh
  • Advertisement