Anda di sini

Manfaat potensi Kedayan

Advertisement

 

 Abang Johari mencuba menggunakan sejenis peralatan mengisar padi atau ‘kisa’an padi’ yang dipamerkan pada Majlis Makan Tahun Perdana 2017 di Kampung Danau, Bekenu semalam. Kelihatan sama, Juma’ani (kiri) dan (dari kanan) Abdul Karim, Rosey, Monica, Penguang dan Ripin.
SIMBOLIK: Abang Johari mencuba menggunakan sejenis peralatan mengisar padi atau ‘kisa’an padi’ yang dipamerkan pada Majlis Makan Tahun Perdana 2017 di Kampung Danau, Bekenu semalam. Kelihatan sama, Juma’ani (kiri) dan (dari kanan) Abdul Karim, Rosey, Monica, Penguang dan Ripin.

RM900,000 untuk bina semula Bangunan Warisan Kedayan jadi pusat data hubung seluruh masyarakat itu: KM

BEKENU: Kerajaan negeri meluluskan peruntukan sebanyak RM900,000 untuk membina semula Bangunan Warisan Kedayan di Bekenu dan RM100,000 lagi untuk Tabung Pendidikan Persatuan Kedayan Sarawak (PERKASA).

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, peruntukan untuk bina semula bangunan tersebut akan dikeluarkan pada Februari tahun hadapan, diikuti kerja-kerja menaik taraf yang dijangka siap dalam tempoh dua tahun.

Beliau berkata, apabila siap nanti bangunan itu bukan sekadar menjadi galeri pameran untuk menyimpan warisan budaya kaum Kedayan, malah ia akan dilengkapi dengan kemudahan Internet berkelajuan tinggi.

Bangunan Warisan Kedayan ini akan menjadi Pusat Data Kedayan untuk mengumpul maklumat mengenai masyarakat itu di seluruh kawasan bandar dan luar bandar seluruh Sarawak, Semenanjung Malaysia, Sabah, Brunei dan Labuan.

Data ini penting agar kita dapat mengenal pasti potensi kaum Kedayan dalam sektor pembangunan tertentu dan memudahkan kita membantu mereka.

Pada masa sama, menghubungkan seluruh masyarakat itu melalui pangkalan data,” katanya ketika berucap pada Program Pemimpin Bersama Rakyat Sempena Majlis makan Tahun Perdana 2017 Keenam di Kampung Danau, Bekenu semalam.

Abang Johari berkata: “Ini merupakan julung kali saya menghadiri majlis makan tahun sebagai Ketua Menteri, sebelum ini saya pernah hadir namun sebagai menteri. Justeru pemberian peruntukan tersebut adalah tepat pada waktunya.”

Kira-kira 2,000 Kedayan dari Sabah, Labuan, Brunei, Bekenu, Bintulu, Lawas, Limbang dan Miri termasuk penduduk dari 14 kampung Kedayan di Bekenu memeriahkan majlis makan tahun yang begitu sinonim dengan masyarakat Kedayan.

Hadir sama isteri Datin Patinggi Datuk Juma’ani Tuanku Bujang, Ahli Parlimen Datuk Ahmad Lai Bujang, Menteri Muda Pelancongan, Budaya, Belia dan Sukan Sarawak Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Muda Kerajaan Tempatan Datu Dr Penguang Manggil dan isteri Datin Monika Ukong Jaya, Menteri Muda Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Rosey Yunus dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) merangkap Pengerusi PERKASA Lambir Ripin Lamat.

Mengenai majlis makan tahun itu, Abang Johari berkata ia menzahirkan nilai bergotong-royong, perpaduan dan berkongsi masih diamalkan oleh rakyat negeri ini.

Sarawak bertuah kerana penduduknya saling berkongsi apa yang ada dan saling bantu-membantu. Semangat tolong-menolong di kalangan orang kita inilah yang menjadi salah satu kekuatan kita.”

Terdahulu Ripin dalam ucapannya berkata, populasi Kedayan kini mencecah lebih 40,000 di seluruh Sarawak termasuk di Limbang, Lawas, Sibuti, Miri; Kampung Jepak, Nyalau, Sungai Segan di Bintulu; Rambungan di Lundu dan Sematan, Labuan, Sipitang, Beaufort dan Pulau Penyu di Sabah.

Katanya, Bangunan Warisan Kedayan sedia ada dibina pada lewat 70-an dan kini sudah uzur.

Tapak sudah ada, namun ia perlu dibina semula termasuk kerja-kerja menembok bagi membolehkan ia berfungsi dengan baik. Kita merancang untuk menyimpan kebudayaan dan adat resam kaum Kedayan dan dipamerkan di bangunan itu,” kata Ripin.

Beliau menambah, lokasi bangunan itu amat sesuai kerana terletak berhadapan dengan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Bekenu selain sesuai dijadikan pusat aktiviti lain.

Sementara itu, katanya, penubuhan tabung pendidikan diperlukan untuk membantu anak-anak Kedayan yang cemerlang melanjutkan pelajaran ke peringkat tertinggi.

Ripin turut berharap acara makan tahun Kedayan ini dapat dmasukkan ke dalam Kalendar Pelancongan Sarawak bagi menarik lebih ramai pelancong ke Bekenu.

  • oleh
  • Advertisement