Anda di sini

Rogol: Bomoh dipenjara 12 tahun dan tiga sebatan

Advertisement

MIRI: Seorang bomoh dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen semalam kerana kesalahan merogol seorang suri rumah.

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara ke atas tertuduh dikuatkuasakan mulai tarikh tangkapan pada 1 April tahun ini.

Hukuman itu dijatuhkan Hakim Steve Ritikos setelah meneliti beberapa aspek termasuk pengakuan salah dan rayuan tertuduh, keterangan fakta kes, berat kesalahan yang dilakukannya serta mengambilkira kepentingan awam.

Ketika membacakan keputusannya, Steve menegaskan bahawa kesalahan dilaku tertuduh serius dan diharap hukuman berat dapat menjadi pengajaran kepada orang awam lain agar tidak melakukan kesalahan serupa.

Assan Gom, 58, telah didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara 20 tahun dan boleh disebat, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan pertuduhan kes, tertuduh telah didakwa merogol seorang wanita yang juga merupakan suri rumah berusia 29 tahun.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 12.30 tengah malam, 31 Mac tahun ini di kawasan semak di tepi Jalan Kuala Baram.

Terdahulu, mahkamah menetapkan 16 dan 17 November ini untuk perbicaraan lanjut setelah tertuduh mengaku tidak bersalah atas tuduhan tersebut.

Semasa sebutan kes kelmarin, mahkamah memberikan peluang terakhir kepadanya untuk membuat keputusan sama ada mengekalkan pengakuan tidak bersalah atau sebaliknya sebelum perbicaraan dijalankan semalam.

Bagaimanapun, ketika kesnya disebut semalam, tertuduh telah menukar pengakuan kepada bersalah.

Advertisement