Anda di sini

Insentif khas buat penjawat awam negeri

Advertisement
 Abang Johari ditemani Setiausaha Sulit Kanan beliau, Wan Khalik Wan Muhammad menunjukkan teks ucapan penggulungan sebelum persidangan bermula di lobi DUN, semalam.
SEDIA: Abang Johari ditemani Setiausaha Sulit Kanan beliau, Wan Khalik Wan Muhammad menunjukkan teks ucapan penggulungan sebelum persidangan bermula di lobi DUN, semalam.

KUCHING: Semua penjawat awam negeri bakal menerima bayaran insentif khas bersamaan sebulan gaji asas atau minimum RM2,000 pada Disember ini.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang mengumumkan perkara itu berkata, ia merupakan kali pertama kerajaan negeri melaksanakan bayaran sedemikian dengan anggaran kos RM45 juta.

“Negeri ini mempunyai keupayaan kewangan untuk melaksanakan bayaran insentif khas ini yang melibatkan anggaran berjumlah RM45 juta dan bayaran insentif khas akan diberikan pada Disember 2017.

“Bayaran insentif khas ini juga dibuat memandangkan prestasi kewangan mengagumkan dan kedudukan kewangan negeri yang sihat, yang disebabkan perkhidmatan mereka yang komited, perbelanjaan berhemah dan disiplin perkhidmatan awam,” katanya ketika berucap menyampaikan ucapan penggulungan pada Persidangan DUN di sini, semalam.

Abang Johari berkata, beliau percaya bayaran insentif khas itu akan memberi motivasi kepada perkhidmatan awam negeri agar terus menyampaikan perkhidmatan cemerlang.

“Ia sebagai pengiktirafan dan penghargaan terhadap perkhidmatan, dedikasi penjawat awam negeri yang menyumbang kepada kemajuan serta pertumbuhan negeri yang memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.

Sejak bertahun lalu, kata beliau, perkhidmatan awam Sarawak telah menunjukkan prestasi yang sangat baik meskipun jumlah tenaga kerjanya hanya 22,549 orang (termasuk pihak berkuasa tempatan dan badan berkanun).

Tambahnya, ia mencerminkan kecekapan mereka meskipun tanggungjawab yang berat dan pertumbuhan pesat dalam bebanan kerja dari segi projek dan program selama bertahun-tahun.

Berhubung isu lain, Abang Johari menegaskan, kerajaan kini perlu beralih kepada kerajaan digital dalam persekitaran selamat dengan jejak audit ketat.

“Begitu juga bagi setiap data peribadi, transaksi dengan kerajaan dikemas kini selain warga juga dapat meminta perkhidmatan daripada kerajaan dengan hanya sentuhan butang daripada platform bersepadu.

“Ia merangkumi seluruh kitaran hidup rakyat daripada kelahiran hingga kematian dan bagi tujuan itu, kita sedang membangunkan platform umum bagi pengenalan dan mungkin memanggilnya Sarawak ID,” jelasnya.

  • oleh
  • Advertisement