Anda di sini

Undang-undang keselamatan siber perlu tangani penipuan pembelian data

KUALA LUMPUR: Undang-undang siber Malaysia, terutamanya undang-undang keselamatan siber perlu mempunyai proses dan peraturan yang lebih jelas untuk menjejak pembelian dan urus niaga dalam Bitcoin dalam kalangan rakyat bagi mengesan penipuan pembelian data. 

Penyedia perkhidmatan keselamatan siber serantau, Quann Malaysia, berkata ketika ini identiti kedua-dua penjual dan pembeli tidak diketahui dan tidak boleh dikesan meskipun urus niaga yang telus.

Pengurus Besarnya, Ivan Wen berkata sudah sampai masanya untuk mengguna pakai pendekatan berbeza dalam menangani jumlah peningkatan tuntutan ransomware di seluruh dunia.

Individu atau syarikat yang didapati membeli data bocor ini perlu dihukum. Hanya apabila pembelian berhenti, barulah penggodaman berhenti kerana tidak ada lagi pembeli untuk membiayai penggodam ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Wen juga berkata sebagai satu daripada institusi kewangan utama di dunia, Bank Negara Malaysia boleh menjadi contoh ikutan dan menghentikan penipuan pembelian data Malaysia.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia mempunyai kelengkapan untuk membantu Bank Negara dalam merangka peraturan ketat bagi menghentikan pembelian palsu,” jelasnya.

Sebelum ini dilaporkan bahawa pembeli-pembeli tanpa nama membeli data 46.2 juta pengguna mudah alih Malaysia dengan harga hanya RM32,000 (anggaran harga semasa).

Ia susulan pendedahan baru-baru ini bahawa data 46.2 juta pengguna mudah alih Malaysia dijual dengan hanya 1 Bitcoin (RM32,000). — Bernama