Anda di sini

UD Trucks intai prospek Pan Borneo

Advertisement

Syarikat pengeluar trak ingin teroka peluang dalam projek mega rentasi Sarawak, Sabah

RANGKAIAN UTAMA: Van den Heede berdiri di sebelah model Quester, iaitu trak berat keluaran UD Trucks yang dipamerkan di pertunjukan di Tokyo baru-baru ini.
 Model Croner merupakan rangkaian trak sederhana berat keluaran UD Trucks yang baharu sahaja diperkenalkan di Sarawak.
KELUARAN BAHARU: Model Croner merupakan rangkaian trak sederhana berat keluaran UD Trucks yang baharu sahaja diperkenalkan di Sarawak.

TOKYO: Kerancakan pembangunan mega Lebuh Raya Pan Highway membuka peluang besar buat para pemain sektor pembinaan, terutamanya mereka yang mempunyai kepakaran dalam bidang kejenteraan berat dan logistik.

Pengalaman hampir empat dekad dalam segmen ini merupakan kelebihan bagi pengeluar trak berat pelbagai guna UD Trucks untuk meneroka prospek yang ada dalam projek mega ini.

Menurut Pengarah Urusan bagi Malaysia untuk Kumpulan Jualan Trak UD Trucks Asia, Filip Van den Heede, syarikat yang beribu-pejabat di Jepun sudah bertapak di Malaysia semenjak 1978 – hasil daripada kerjasama dengan Tan Chong Industrial Equipment Sdn Bhd (TCIE).

“Saya berada di Kuching semasa pelancaran siri baharu trak sederhana berat kami iaitu Croner, pada September lepas di mana saya berpeluang untuk mengetahui secara lebih lanjut mengenai pakej pembangunan pertama projeck Lebuh Raya Pan Borneo ini.

“Saya percaya in adalah satu bidang yang mana UD Trucks boleh menyumbang kepada projek mega ini.

“Bagi kami, di mana ada aktiviti pembinaan, di situlah peluang buat UD Trucks terutamanya di pasaran membangun seperti Malaysia,” beliau memberitahu Utusan Borneo dalam satu temu ramah yang diadakan di ibu pejabat UD Trucks di Saitama dekat sini, baru-baru ini.

UD Trucks merupakan antara syarikat yang terlibat di dalam Pameran Permotoran Tokyo Ke-45 yang berlangsung di Arioke bermula lewat Oktober dan berakhir pada hujung minggu lepas, yang menghimpun para wakil daripada jenama-jenama permotoran dan automotif terunggul di dunia.

Berbalik kepada prospek, Van den Heede berkata UD Trucks juga memiliki kepakaran dalam bidang-bidang utama di Sarawak.

“Segmen pengangkutan jarak sederhana dan jauh, pengurusan kargo, perladangan, petrokimia serta komoditi sepeti minyak sawit – semuanya berpotensi menjadi ‘lubuk emas’ buat UD Trucks kerana kami memiliki kepakaran dalam arena ini.

“Satu lagi prospek ialah pengenalan teknologi baru kami untuk pasaran membangun. Ini penting kerana industri trak bukan mengenai penghantaran barang dari satu tempat ke tempat yang lain semata-mata.

“Ini tidak dapat dielakkan kerana sama seperti industri-industri lain, pengendalian trak juga mengalami transformasi atas beberapa sebab utama seperti perubahan dalam teknologi dan piawaian enjin, serta permintaan pasaran,” kata Van den Heede, 45, yang berpengalaman dalam bidang ini bersama UD Trucks selama hampir 20 tahun – 10 tahun daripadanya di Asia.

Buat masa ini, syarikat ini menguasai antara 10 ke 15 peratus pasaran trak berat di Malaysia manakala untuk pasaran trak sederhana berat, peratusan pasaran buat syarikat ini adalah di antara 25 dan 28 peratus.

UD Trucks juga terlibat dalam segmen trak kecil di Malaysia, dengan penguasaan pasaran sebanyak lima ke 10 peratus.

“Boleh dikatakan UD Trucks memiliki rekod yang baik di Malaysia dan untuk pasaran Sarawak, kami percaya akan prospek dalam permintaan trak sederhana berat, lebih-lebih lagi selepas pelancaran model Croner kami di Kuching pada September lepas.

“Namun, kami juga berusaha untuk mencapai sasaran pasaran sebanyak 30 peratus untuk rangkaian trak sederhana berat UD Trucks buat Malaysia,” kata Van den Heede, yang berasal dari Belgium.
 

  • oleh
  • Advertisement