Anda di sini

Trump, Duterte amat mesra di Manila

Advertisement

Isu hak asasi manusia menyelubungi sidang kemuncak dua hari di Filipina

 (Dari kiri) Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak, Kaunselor Negara merangkap Menteri Luar Myanmar Aung San Suu Kyi, Perdana Menteri Thailand Prayut Chan-O-Cha, Perdana Menteri Vietnam Nguyen Xuan Phuc, Trump, Duterte, Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong, Sultan Brunei Hassanal Bolkiah, Perdana Menteri Laos Thongloun Sisoulith, Presiden Indonesia Joko Widodo dan Perdana Menteri Kemboja Hun Sen bergambar untuk foto keluarga semasa Sidang Kemuncak Peringatan Ulang Tahun Ke-40 A
BERSAHABAT: (Dari kiri) Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak, Kaunselor Negara merangkap Menteri Luar Myanmar Aung San Suu Kyi, Perdana Menteri Thailand Prayut Chan-O-Cha, Perdana Menteri Vietnam Nguyen Xuan Phuc, Trump, Duterte, Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong, Sultan Brunei Hassanal Bolkiah, Perdana Menteri Laos Thongloun Sisoulith, Presiden Indonesia Joko Widodo dan Perdana Menteri Kemboja Hun Sen bergambar untuk foto keluarga semasa Sidang Kemuncak Peringatan Ulang Tahun Ke-40 A

MANILA: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump semalam mengisytiharkan perhubungan hebat dengan rakan sejawatannya dari Filipina Rodrigo Duterte, yang mengakui dirinya pembunuh yang melancarkan perang dadah berdarah, tatkala mereka bermesra di ibu negara Filipina.

Trump berada di Filipina bersama pemimpin 18 negara lain untuk sidang kemuncak dua hari pada bahagian terakhir jelajah Asia yang didominasi krisis nuklear Korea Utara dan dihantui skandal campur tangan Rusia dalam pilihan raya presiden AS tahun lepas.

Jelajah 12 hari itu membawa Trump dari Jepun ke Korea Selatan, China dan juga Vietnam.

Kumpulan hak asasi telah menyeru Trump untuk mengakhiri jelajah Asianya dengan kenyataan lantang mengecam perang dadah Duterte yang menyaksikan polis dan sukarelawan keselamatan membunuh ribuan suspek.

Tetapi kedua-duanya mempunyai siri pertemuan pada malam kelmarin dan pagi semalam di mana mereka kelihatan amat mesra, dengan Trump memuji Duterte, 72, semasa rundingan rasmi waktu makan tengah hari.

Kami mempunyai hubungan yang hebat dan hasilnya amat memberangsangkan,” kata Trump kepad Duterte dalam kenyataan perasmian ringkas pada pertemuan mereka.

Saya benar-benar seronok berada di sini,” tambahnya ketika memuji penganjuran persidangan tersebut.

Ketika para wartawan diiringi keluar dari bilik tersebut, salah seorang bertanya sama ada Trump akan membangkitkan isu hak asasi manusia, lantas disampuk Duterte yang bergurau menggelar media sebagai ‘pengintip’ dan masing-masing tidak menjawab.

Jurucakap Duterte kemudian berkata, mesyuarat berlangsung lebih 40 minit dan Trump tidak membangkitkan isu tersebut.

Sejak Duterte memerintah, polis dilaporkan membunuh 3,967 suspek dalam operasi antidadah manakala 2,290 lagi maut dalam jenayah berkaitan dadah.

Ribuan kematian lain bagaimanapun masih belum diselesaikan, menurut statistik kerajaan.

Ratusan penunjuk perasaan berhimpun di Manila semalam untuk memprotes kedua-dua pemimpin terbabit, di mana polis antirusuhan meleraikan mereka dengan meriam air.

Ramai rakyat Filipina menyokong Duterte kerana mempercayai beliau mengambil langkah perlu untuk membanteras jenayah tetapi kumpulan hak asasi memberi amaran beliau sebenarnya melakukan jenayah ke atas kemanusiaan.

Amnesty International menuduh polis menembak mati suspek tidak bersenjata dan membayar pembunuh upahan untuk menamatkan riwayat penagih dadah.

Duterte sendiri berbangga mengakui beliau pernah membunuh, terbaharu minggu lepas ketika berada di Vietnam untuk sidang kemuncak Kerjasama Eko-nomi Asia Pasifik (APEC).

Pada usia 16 tahun saya sudahpun membunuh seseorang.

Orang yang sebenar, satu pertengkaran, satu tikaman, dan saya baharu berusia 16 tahun, hanya kerana satu renungan,” kata Duterte.

Duterte dan Trump duduk bersebelahan semasa jamuan prapersidangan kelmarin di mana mereka berbual mesra.

Duterte turut menyanyikan sebuah lagu cinta Filipina ketika menjadi tuan rumah para pemimpin dunia tatkala Filipina menjadi pengerusi Pertubuhan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN).

Acara semalam dan hari ini di Manila adalah dua sidang kemuncak berasingan anjuran ASEAN yang turut melibatkan China, Jepun, Rusia, Korea Selatan, India, Kanada, Australia dan New Zealand.

Dalam pada itu, Trump berbangga dengan pencapaian dagangan semasa jelajah lima negara Asia itu dan berikrar akan mendedahkan langkah lebih besar apabila kembali ke Washington.

Beliau kerap mengecam perjanjian dagangan antarabangsa sebagai tidak adil serta kurangnya rasa hormat terhadap AS dan para pemimpinnya.

Tetapi berdiri di samping perdana menteri Jepun dan Australia di Manila semalam, nada beliau berubah.

Cara mereka melayan kami, rasa hormat yang khususnya ditunjukkan Jepun, China dan Korea Selatan apabila kami melawat mereka, menunjukkan betapa hormatnya mereka terhadap rakyat kita.

Dan kami amat menghargainya, di mana karpet merah dibentangkan dalam cara yang tidak pernah disaksikan sebelum ini,” ujarnya ketika memuji layanan terhadapnya di Tokyo, Seoul dan Beijing.

Di Jepun, beliau bermain golf dengan Perdana Menteri Shinzo Abe dan pemain nombor empat dunia Hideki Matsuyama, serta bertemu Maharaja Akihito.

Di Korea Selatan, beliau mendapat tepukan berge-muruh semasa menyampaikan ucapan di parlimen dalam lawatan rasmi pertama pemimpin AS dalam tempoh suku abad.

Di Beijing, beliau melawat Kota Larangan bersama Presiden Xi Jinping dan menyaksikan persembahan Opera Peking. — AFP

Advertisement