Anda di sini

Sedia hadapi Monsun Timur Laut

Advertisement

KUCHING: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri bersiap sedia sepenuhnya untuk menghadapi Monsun Timur Laut yang diisytiharkan melanda negeri ini bermula semalam (13 November) hingga Mac tahun depan.

Pengerusinya, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata seramai 21,188 anggota dan kakitangan daripada tujuh agensi dan jabatan sedia untuk ditugaskan, iaitu lebih ramai berbanding 17,097 pada tahun lepas.

Selain itu, katanya sebanyak lima buah helikopter, 197 buah lori, 325 buah kenderaan pacuan empat roda, 280 buat bot dan 50 buah ambulan dari pelbagai jabatan dan agensi juga disediakan.

"Semasa Monsun Timur Laut, hujan berterusan untuk tempoh sehingga tiga hari boleh mengakibatkan banjir di kawasan-kawasan berkedudukan rendah dan kawasan yang cenderung banjir.

“Sekiranya hujan lebat berlaku serentak dengan kejadian air pasang, risiko banjir akan menjadi lebih buruk,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri di Bilik Gerakan Negeri di Wisma Bapa Malaysia di sini.

Hadir sama Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Dato Sri Fatimah Abdullah.

Pada masa sama, Uggah berkata Jabatan Kebajikan Masyarakat juga telah membuat persediaan untuk membuka sebanyak 610 buah pusat pemindahan di seluruh negeri.

“Seramai 165 orang pembekal logistik telah dilantik dan untuk mencapai masa respon yang terbaik, pembekalan logistik akan disimpan di 12 pangkalan hadapan di tempat-tempat yang strategik dan tiga buah stor/ depo utama yang terletak di Kuching, Samarahan dan Miri,” katanya.

Tambah beliau, semua Residen juga bersiapsiaga dan bilik gerakan banjir di semua bahagian diaktifkan pada bila-bila masa.

Katanya lagi, cuti pegawai-pegawai agensi di bawah Jawatankuasa Pengurusan Bencana turut dibekukan berkuatkuasa serta merta.

Uggah (duduk, kanan) dan Fatimah (duduk, kiri) bersama ketua-ketua agensi pada sidang media di Wisma Bapa Malaysia, Petra Jaya.
Uggah (duduk, kanan) dan Fatimah (duduk, kiri) bersama ketua-ketua agensi pada sidang media di Wisma Bapa Malaysia, Petra Jaya.
  • oleh
  • Advertisement