Anda di sini

Rasuah: Pemilik dan pemandu lori dipenjara tujuh hari, denda RM10,000

 S.Moorthy (kanan) dan pemandu lori V.Kumar, 57, dijatuhi hukuman tujuh hari penjara bermula semalam dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di Ipoh kerana cuba memberi rasuah kepada seorang pembantu Penguatkuasaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tiga tahun lepas. — Gambar Bernama
MENGAKU BERSALAH: S.Moorthy (kanan) dan pemandu lori V.Kumar, 57, dijatuhi hukuman tujuh hari penjara bermula semalam dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di Ipoh kerana cuba memberi rasuah kepada seorang pembantu Penguatkuasaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tiga tahun lepas. — Gambar Bernama

IPOH: Pemilik dan pemandu lori, masing-masing dijatuhi hukuman penjara tujuh hari dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam bagi kesalahan cuba memberi rasuah kepada seorang pembantu penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), tiga tahun lepas.

Hakim S.Indra Nehru menjatuhkan hukuman itu terhadap pemilik lori S.Moorthy, 51, dan pemandu lori V. Kuma, 57, selepas kedua-duanya mengaku bersalah atas pertuduhan cuba memberikan RM600 kepada pembantu penguat kuasa JPJ Azlee Ahmad sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan berikutan lori itu membawa lebih muatan.

Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Ipoh-Lumut, Seri Iskandar, pada 12 Nov 2014  mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah seksyen 24 akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.

Mahkamah memerintahkan kedua-dua tertuduh menjalani hukuman penjara itu dari hari ini dan perlu menjalani hukuman penjara empat bulan  lagi jika gagal membayar denda itu. Mereka membayar denda itu.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Nurul Wahida Jalaluddin manakala Moorthy diwakili peguam T. Ellanggovan dan Kumar diwakili peguam Manjeet Kaur. — Bernama