Anda di sini

Platform digital MAYA2U beri manfaat kepada koperasi

ANGKASA boleh dapat akses kepada 65 buah negara terlibat OBOR

PETALING JAYA: Lebih 13,000 koperasi di bawah Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia (ANGKASA) akan mendapat manfaat daripada MAYA2U, portal perdagangan digital yang diwujudkan melalui kerjasama antara Sterling Red Sdn Bhd dan OBOR Net Sdn Bhd.

Presiden, Datuk Abdul Fattah Abdullah, berkata MAYA2U akan membolehkan lapan juta anggota ANGKASA untuk meneroka platform e-dagang ASEAN2U di bawah OBORNet dan mendapatkan akses kepada 65 buah negara yang terlibat di bawah inisiatif ‘Satu Jalur, Satu Jalan (OBOR).

Kerjasama ini akan membolehkan koperasi di Malaysia dan ASEAN untuk menjalankan urus niaga dengan negara-negara OBOR, bermula dengan China, Hong Kong dan Taiwan,” katanya pada majlis menandatangani perjanjian kerjasama strategik perniagaan antara Sterling Red dan OBORNet di sini semalam.

Kerjasama antara MAYA2U dan ASEAN2U merupakan inisiatif Perniagaan kepada Perniagaan kepada Komersial (B2B2C) yang pertama dalam negara ini dan akan menyediakan sebuah ekosistem setempat bagi memudahkan urus niaga merentas sempadan disamping menjana pertumbuhan jualan tempatan dan antarabangsa.

Pasaran e-dagang China, yang dianggarkan melebihi AS$600 bilion, akan membolehkan koperasi-koperasi Malaysia berkembang melalui kerjasama dengan lain-lain perusahaan bagi meningkatkan penawaran produk, perkhidmatan dan pelanggan.

Katanya, dengan mengambil  kesempatan ke atas Zon Perdagangan Bebas Digital yang baharu dilancarkan, platform tersebut akan menyediakan perkhidmatan logistik yang lebih baik untuk pelanggan dan merapatkan komunikasi serta memecahkan halangan bahasa dan perbezaan budaya.

Perusahaan kecil dan sederhana akan dipertingkatkan ke tahap tertinggi  untuk merncapai pasaran global termasuk vendor di negara-negara OBOR.

Kerjasama antara MAYA2U dan ASEAN2U akan memperkasakan kami untuk menawarkan perkhidmatan kepada koperasi dengan teknologi yang canggih tertapi berkos rendah,” katanya.

Melangkah ke hadapan, selepas menembusi pasaran China, kerjasama ini akan menyaksikan PKS menyasar untuk memasuki pasaran-pasaran lain seperti Eropah dan Timur Tengah.

Angkasa adalah badan koperasi tertinggi yang mewakili pergerakan koperasi Malaysia pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa. — Bernama