Anda di sini

Petra Jaya FC mara ke final Unity Cup

KUCHING: Petra Jaya FC (PJFC) mengesahkan slot ke peringkat akhir kejohanan bola sepak Piala Perpaduan (Unity Cup 2017) selepas melakarkan kemenangan bergaya 6-1 ke atas Bocanisa FC.

 Mengharungi tempoh 90 minit mendebarkan dalam laluan ke perlawanan akhir, skuad kendalian Izwandie Razali dan Abdul Rashid Japar nyata tidak berdepan masalah menundukkan juara Kumpulan B itu.

 Penyerangnya, Wan Badreen Wan Yusuf meletakkan PJFC di kedudukan selesa 5-0 pada babak pertama selepas berjaya melengkapkan jaringan hatrik.

 Manakala dua lagi jaringan terhasil daripada sepakan percuma cantik pemain tengah, Mohd Firdaus Zamri dan Amir Amri.

 ‘’Kami akan berusaha untuk terus menang serta mengekalkan corak permainan bagi memastikan momentum kecemerlangan pasukan sehingga ke perlawanan akhir nanti.

 ‘’Apa yang penting, pada perlawanan akhir kami masih bercita-cita tinggi untuk memburu kejuaraan pertama,” kata Izwandie yang juga pengurus pasukan.

 Menurutnya, persiapan dalam mengharungi saingan akhir akan dilakukan dalam masa terdekat ini.

 Sementara itu, ketua pasukan Haziq menggesa rakanrakan sepasukan agar sentiasa bersiap sedia menjelang perlawanan akhir menentang DJB FT nanti.

 “Sesiapa sahaja yang kami lawan merupakan pencabar yang sukar, justeru kami harus sentiasa bersedia dengan baik.

 ‘’Setakat ini, pasukan kami kelihatan sangat positif dan kami sentiasa berusaha untuk mara bagi memburu kejuaraan sulung,” katanya.

 Perlawanan akhir Unity Cup 2017 berlangsung di Padang C, Petra Jaya di sini membabitkan PJFC menentang DJB FT pada 19 November (Ahad) ini jam 8.15 malam.