Anda di sini

Perak merampas gelaran juara

Advertisement

Tundukkan Terengganu 3-2 pada perlawanan akhir Hoki Piala Razak

 Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir meraikan kejayaan pasukan Perak menjuarai Kejohanan Hoki TNB Piala Tun Abd Razak ke 55 selepas menundukkan Terengganu pada perlawanan akhir Divisyen 1 di Stadium Azlan Shah, Ipoh semalam. — Gambar Bernama
DETIK MANIS: Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir meraikan kejayaan pasukan Perak menjuarai Kejohanan Hoki TNB Piala Tun Abd Razak ke 55 selepas menundukkan Terengganu pada perlawanan akhir Divisyen 1 di Stadium Azlan Shah, Ipoh semalam. — Gambar Bernama

IPOH: Perak berjaya merampas gelaran juara Kejohanan Hoki Piala Razak 2017 selepas menundukkan juara bertahan, Terengganu 3-2 pada perlawanan akhir di Stadium Azlan Shah di sini, malam kelmarin.

 Gol pertama pasukan Perak hadir menerusi jaringan padang Mohd Najib Abu Hassan pada minit ke-30.

 Biarpun ketinggalan 1- 0, Terengganu tidak mudah menyerah kalah dan ini dibuktikan oleh Faizal Shaari yang memanfaatkan pukulan sudut penalti bagi menyamakan kedudukan lima minit selepas separuh masa kedua.

 Pasukan tuan rumah bagaimanapun enggan menghampakan penyokong sekali lagi mendahului menerusi Muhammad Haziq Samsul pada minit ke-53 hasil jaringan padang.

 Asakan daripada pasukan lawan terus berganda apabila mendapat satu lagi gol menerusi hasil pukulan sudut penalti oleh Faizal pada minit ke-56.

 Hafiz Hanafi muncul wira Perak apabila menjaringkan gol kemenangan seminit sebelum tamat perlawanan sekali gus memastikan tuan rumah menjulang piala edisi ke-55 selepas memenanginya pada 2013 dan 2014.

 Sementara itu, Melaka menduduki tempat ketiga Divisyen Satu selepas mengalahkan Negeri Sembilan dengan kemenangan tipis 1-0.

 Terdahulu, Perlis muncul juara Divisyen Dua selepas mengalahkan Selangor 2-0 pada perlawanan akhir yang berlangsung pukul 6 petang tadi di stadium sama, sekali gus layak beraksi di Divisyen Satu pada musim 2018.

 Azhad Akmal Mohd Fahmi muncul wira Perlis apabila meledakkan dua gol padang masing-masing pada minit ke-16 dan 52.

 Sementara itu, ATM mengalahkan Pahang 3-4 dalam perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat. — Bernama  

Advertisement