Anda di sini

Pengguna feri Igan terpaksa berebut dengan lori sawit

 

MUKAH: Para penduduk dan pengguna feri Igan, di sini terpaksa berebut dengan lori-lori sawit terlebih muatan untuk menaiki feri.

Perkara itu diutarakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng, Datuk Dr Juanda Jaya (gambar) yang melahirkan kebimbangannya akan keselamatan para pengguna feri di kawasan terbabit.

"Seharusnya penguatkuasa bertanggungjawab ke atas hal ini memainkan peranan dan ambil tindakan sewajarnya," katanya kepada Utusan Borneo, hari ini.

Menurutnya, ia adalah hal yang harus diambil serius kerana melibatkan nyawa pengguna dan penduduk kampung.

Beliau juga mendakwa berkemungkinan terjadinya penyalahgunaan kuasa dalam kalangan pihak penguatkuasa yang bertanggungjawab ke atas hal itu kerana ia sudah terlalu lama berlaku dan sedihnya, ia dibiarkan begitu sahaja tanpa ada sebarang tindakan atau langkah penguatkuasaan yang betul.

Justeru, beliau berharap kerajaan negeri mengambil tindakan dan perhatian segera ke atas permasalahan itu.

Pada masa sama, Juanda turut menyatakan keinginannya untuk mengetahui status sebenar pembinaan jambatan Igan.

"Kita masih tertanya-tanya apakah status sebenar pembinaan jambatan Igan sekarang," ujarnya lagi sambil menekankan ia perkara penting untuk diketahui oleh penduduk serta pengguna feri Batang Igan.